PRK Kuala Kubu Baharu: Lapor polis jika dihalang mengundi - Pemuda PN - Utusan Malaysia

PRK Kuala Kubu Baharu: Lapor polis jika dihalang mengundi – Pemuda PN

PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan, Perikatan Nasional, Bebas dan Parti Rakyat Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Pemuda Perikatan Nasional (PN) menggesa pengundi Kuala Kubu Baharu membuat laporan polis sekiranya terdapat pihak yang cuba menyekat atau menghalang mereka daripada keluar mengundi pada Sabtu ini.

Pemuda PN dalam kenyataannya berkata, pengundi perlu segera membuat laporan polis di atas tindakan yang mencabuli hak berperlembagaan.

“Pemuda PN mengutuk sekeras-kerasnya usaha dan strategi sesetengah pihak yang cuba memanipulasi para pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu khususnya dalam kalangan pengundi Melayu untuk tidak keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada 11 Mei. 

“Sesungguhnya, perbuatan tersebut adalah suatu pengkhianatan terhadap negara dan merupakan jenayah demokrasi,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan bersama Naib Ketua Dewan Pemuda Pas, Muhamad Hanif Jamaluddin; Ketua Pemuda PN Selangor, Mohamed Sukri Omar dan Pengarah Jentera Pemuda PN Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Muhammad Hilman Idham.

Mengulas lanjut, Pemuda PN berkata, hak untuk pengundi keluar mengundi dalam pilihan raya adalah hak yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pemuda Perikatan Nasional menyeru seluruh para pengundi DUN Kuala Kubu Baharu khususnya di kalangan generasi muda supaya keluar beramai-ramai bagi menyempurnakan tanggungjawab kita kepada negara dan tanah air tercinta.

“Ayuh bersama dengan arus perubahan yang sedang melanda Kuala Kubu Baharu demi masa depan dan kemaslahatan seluruh warga,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×