PRK Kuala Kubu Baharu: Isu Kor Ming, lapor polis atau SPRM - SPR - Utusan Malaysia

PRK Kuala Kubu Baharu: Isu Kor Ming, lapor polis atau SPRM – SPR

SPR
PARA petugas SPR membuat persediaan dekat Pusat Penjumlahan Undi Rasmi bagi menghadapi hari mengundi pada PRK Kuala Kubu Baharu di Hulu Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyarankan sebarang aduan berhubung kesalahan pilihan raya sepanjang berkempen perlu dibuat kepada polis sebagai pihak berkuasa.

Menurut Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak, SPR tidak menerima sebarang aduan terhadap dakwaan rasuah membabitkan Menteri Perumahan dan Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang memberikan peruntukan RM5.21 juta kepada Kuala Kubu Baharu.

Beliau berkata, berhubung dakwaan rasuah tersebut, pihaknya menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa atau pengadu boleh merujuk perkara tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Tidak ada (panggil Kor Ming). Kena faham apa-apa urusan mengenai kesalahan pilihan raya yang dikatakan melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 akan diserahkan kepada polis.

“Ia juga boleh diserahkan kepada pihak berkuasa lain seperti SPRM. SPR tidak melakukan siasatan kerana kita adalah badan bebas,” jelasnya.

Terdahulu tindakan Kor Ming memeberikan peruntukan sebanyak RM5.21 juta itu mencetuskan polemik dalam kalangan pemimpin politik apabila beliau didakwa melakukan rasuah kerana ketika ini Kuala Kubu Baharu sedang berdepan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Dalam pada itu, beliau turut mengulas perkembangan PRK tersebut dan menyeru pengundi membuat persediaan awal sebelum keluar mengundi dengan menentukan dokumen yang perlu dibawa iaitu MyKad selain membuat semakan di MySPRSemak terlebih dahulu sebelum menuju pusat mengundi.

Menurutnya, semakan awal tersebut bagi membolehkan pengundi mengenal pasti pusat mengundi masing-masing termasuk menentukan saluran dan nombor bilangan mereka.

“Kemudian hadir ke pusat mengundi seperti dicadangkan untuk mengelak kesesakan berlaku di pusat mengundi. Namun pengundi bebas untuk mengundi dalam tempoh dibenarkan antara pukul 8 pagi hingga 6 petang,” katanya kepada pemberita, semalam.

Terdahulu, beliau meninjau persediaan di pusat penjumlahan undi dekat Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.

PRK Kuala Kubu Baharu melibatkan pertembungan empat penjuru iaitu dua parti gergasi, Pakatan Harapan (PH) yang menampilkan Pang Sock Tao dan Perikatan Nasional (PN) pula mempertaruhkan Khairul Azhari Saut.

Dua lagi dalam saingan tersebut adalah Hafizah Zainudin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon bebas, Nyau Ke Xin.

Di samping itu, beliau turut memaklumkan persiapan PRK DUN itu berjalan lancar dengan semua ketua pusat mengundi sudah diberi taklimat menjelang hari mengundi, esok. 

“Setiap semakan dilakukan hari ini bertujuan memastikan semua kelengkapan mengundi mencukupi. Petugas yang dilantik pejabat pengurus pilihan raya juga semua berpengalaman dan diyakini mampu menyelesaikan apa-apa masalah yang mungkin timbul esok,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN