TANJUNG MALIM: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yakin calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao mampu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB), Sabtu ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya itu berkata, potensi kemenangan calon muda itu tinggi selain tidak pernah khuatir jumlah majoriti yang diterima kerana paling utama adalah kemenangan.
“Saya ada keyakinan calon PH boleh memenangi PRK ini kerana kelihatan pengundi Melayu yang semakin menunjukkan sokongan.
“Sebelum ini, ternyata ada kekhuatiran kerana calon yang diletakkan ialah dari parti DAP tetapi kita explain (jelaskan) bahawa ini calon kerajaan yang turut dibantu UMNO,” katanya.
Beliau berkata sedemikian semasa menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri ADUN Behrang, Salina Samsudin dan Ketua Peneroka Kebangsaan FELDA, Sulong Jamil Mohamed Shariff di Restoran Abg Long SH D’Salai Slim River di sini semalam. Turut hadir Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Katanya lagi, manifestasi kerjasama perpaduan Barisan Nasional (BN) dan PH telah diterjemahkan sebelum ini dengan kerjasama semasa PRK DUN Pelangai.
“Kemenangan ini penting untuk menterjemahkan semangat perpaduan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Pada PRK itu, calon PH, Pang Sock Tao ditentang hebat tiga pencabar iaitu Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser. –UTUSAN










