IPOH: Polis menahan seorang lelaki dan merampas dadah jenis heroin seberat 9,200 gram bernilai RM115,000 di kawasan Pengkalan Jaya di sini, semalam.
Lelaki berusia 47 tahun itu ditahan ketika menunggang motosikal oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada pukul 1.15 petang.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, hasil pemeriksaan ke atas beg galas berzip di dalam raga motosikal suspek menjumpai 20 bungkusan plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 9,200 gram.
Menurut beliau, dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh kira-kira 12,000 penagih.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin. Semakan juga mendapati suspek memiliki rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah.
“Berdasarkan siasatan, suspek mula aktif melakukan kegiatan pengedaran dadah sejak awal bulan ini dan dadah yang dirampas itu diedarkan untuk pasaran tempatan,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, suspek direman enam hari mulai hari ini sehingga Ahad untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN










