Polis tahan dua duda, cubaan seludup syabu RM1.24 juta gagal

Polis tahan dua duda, cubaan seludup syabu RM1.24 juta gagal

HUSSEIN Omar Khan menunjukkan bagasi bagasi yang dibawa suspek mengandungi dadah dalam sidang akhbar di IPD KLIA. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Cubaan seorang duda menyeludup dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat 38.8 kilogram gagal selepas ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA Terminal 2) di sini, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek yang juga seorang penganggur itu ditahan kira-kira pukul 4 pagi oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA dengan dibantu anggota polis bantuan Malaysia Airports.

“Polis merampas 37 bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu yang sedang dibawa suspek di dalam dua bagasi dengan anggaran berat 38.8 kilogram. Siasatan awal mendapati suspek mahu menaiki penerbangan menuju ke Sarawak,” katanya menerusi sidang akhbar di Bangunan AMC KLIA hari ini.

Beliau berkata, susulan daripada tangkapan yang dibuat, polis turut menahan seorang juruelektrik yang juga berstatus duda di sebuah bilik hotel di sekitar daerah ini kerana disyaki terlibat dalam sindiket sama.

Jelasnya, berdasarkan siasatan yang dijalankan, suspek bertindak sebagai keldai dadah dengan menerima bayaran upah kira-kira RM2,500 bagi setiap penghantaran dari ibu negara ke negeri tersebut.

“Suspek dipercayai datang ke ibu negara dan menginap di hotel sekitar KLIA ini dan mereka akan terima bekalan untuk dibawa ke Sarawak sama ada Sibu, Bintulu atau pun Miri.

“Hasil semakan mendapati suspek datang ke sini sebanyak tujuh kali dan selepas lihat ‘pattern’ ini kita percaya kemungkinan besar mereka sudah berjaya bawa masuk (dadah) ke Sarawak (sebelum ini). Jadi, ini adalah kali kelapan suspek datang dan kita berjaya tahan bersama dadah,” ujarnya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×