PETALING JAYA: Empat stesen monorel ditutup sementara kepada orang ramai susulan kejadian sebatang pokok besar tumbang di ibu negara, semalam.
Menurut Rapid Rail Sdn. Bhd., tindakan itu diambil disebabkan keperluan penutupan bekalan kuasa di landasan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan dan baik pulih.
“Stesen-stesen tersebut adalah Stesen Monorel Bukit Nanas, Stesen Monorel Raja Chulan, Stesen Monorel Bukit Bintang dan Stesen Monorel Imbi.
“Bagi menyokong perkhidmatan alternatif tersebut agar para penumpang dapat meneruskan perjalanan, pihak Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) akan menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma di antara stesen-stesen yang terjejas,” katanya dalam kenyataan.
Rapid Rail juga menyarankan penumpang yang terkesan akibat gangguan luar jangka itu menggunakan perkhidmatan tren lain sebagai alternatif.
“Buat masa ini, kerja-kerja pembersihan dan baik pulih terperinci sedang giat dijalankan oleh Rapid Rail dengan bantuan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Pihak operasi dan jurutera struktur juga sedang menjalankan pemeriksaan terperinci untuk memastikan pengoperasian penuh dapat dijalankan mengikut standard keselamatan dan piawaian yang telah ditetapkan,” katanya.
Jelas Rapid Rail, sebarang kemas kini akan dimaklumkan secara berkala menerusi saluran media sosial Rapid KL dan aplikasi PULSE.
“Kami memohon maaf di atas gangguan luar jangka ini. Pihak kami akan memastikan pengoperasian penuh dapat dijalankan semula secepat mungkin dan kami mengucapkan terima kasih di atas kesabaran para penumpang,” katanya. – UTUSAN










