KANGAR: Perikatan Nasional (PN) perlu kembali berfungsi sebagai pembangkang yang bijak jika ingin mengekal atau menambahkan sokongan pengundi khususnya dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Dalam masa sama, PN juga perlu mencipta naratif baharu dalam berkempen bukan terus membawa sentimen agama dan kaum yang dilihat sudah tidak lagi relevan dengan situasi semasa serta membosankan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemerhati politik yang juga pensyarah Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, sebagai pembangkang, PN perlu kembali memainkan peranan semak dan imbang khususnya berhubung polisi atau dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan.
Ujarnya, ia sekali gus mampu memainkan peranan semak dan imbang dengan lebih berkesan kepada kerajaan dan langkah itu sebenarnya yang ingin dilihat oleh rakyat.
“Selain itu, PN yang menguasai kerajaan Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan perlu mentadbir dengan lebih berkesan dan mencari solusi pada masalah-masalah lama.
“Ia penting bagi membuktikan PN sebenarnya boleh memerintah dengan baik sekaligus memberi keyakinan kepada pengundi menjelang PRU-16 nanti.
“Jangan terlalu fokus atau hanya menjaja sentimen kaum dan agama. Jika digunakan pada waktu ketandusan, isu itu bakal mengundang kesan semula kepada PN,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu baru-baru ini mendapati undi awal penjawat awam khususnya pasukan keselamatan beralih kepada Pakatan Harapan (PH) iaitu perubahan total jika dibandingkan Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 yang pada masa itu memihak kepada PN.
Bagaimanapun katanya, daripada keseluruhan PRK tersebut ia tetap pada status quo di mana margin undi PH tidak bertambah, dan undi PN juga tidak berkurang meskipun peratusan keluar mengundi sekitar 61 peratus.
“Dalam PRK itu, sokongan penyokong PN adalah solid, sokongan Cina kepada PH atau DAP juga masih sama solid. Namun, di mana undi UMNO yang dilihat masih tidak membantu menambah kekuatan PH?
“Ia menjadi isu terbesar UMNO kerana masih gagal mengembalikan sokongan Melayu kepada PH-Barisan Nasional (BN).
“Cabaran seterusnya pula, jika enam kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dikosongkan dan PRK diadakan, ia sekali lagi bakal menguji sejauh mana kekuatan UMNO,” katanya.
Beliau melihat PN akan terus mendominasi di kawasan majoriti Melayu manakala PH pula akan kekal dominasi di kawasan campuran.
“Secara kesimpulan, PRK Kuala Kubu Baharu mengesahkan sokongan telah tepu daripada 2023 ke 2024 dengan mengekalkan status quo.
“Kekuatan PH tidak bertambah manakala PN tidak berkurang. Apa menarik perhatian apabila undi mula beralih kepada PH. Sama ada ia akan kekal atau sebaliknya, tunggu pilihan raya akan datang,” katanya. – UTUSAN










