PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan setiap jabatan kerajaan mengawal dan mengenal pasti kakitangan bermasalah di jabatan masing-masing, yang merosakkan nama baik penjawat awam.
Perdana Menteri berkata, mereka bermasalah itu tidak akan diberi layanan sama dalam mendapat ‘habuan’ daripada kerajaan dalam kenaikan gaji yang akan diterima selepas kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) diluluskan.
“Ada yang pertikai, kalau di sekolah, mungkin lebih 90 peratus guru menjalankan tanggungjawab, (namun) ada guru yang cuai, ada yang kadang-kadang tidak hadir. Begitu juga masalah di jabatan, ada golongan kecil rasuah, tidak datang kerja, pelbagai masalah, apakah kita harus beri layanan yang sama?
“Saya jawab tidak. Kita tidak akan beri layanan yang sama, jadi sementara kita berikan satu anjakan radikal dari segi pengikitrafan dan habuan kepada penjawat awam, saya minta saudara untuk mengawal sendiri dan jabatan, kenal pasti orang yang merosakkan nama baik penjawat awam,” katanya berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, semalam.
Anwar berkata, keputusan berani kerajaan menaikkan gaji penjawat awam ketika ekonomi tidak stabil adalah bersandarkan kepada konsep Madani dan kemanusiaan, kerana penjawat awam tidak boleh dibebankan segala kesalahan kepada mereka.
Ini kerana kata beliau, tidak semua kesalahan itu berpunca daripada majoriti penjawat awam, sedangkan ia berkaitan kepincangan pengurusan dan kecuaian pihak lain.
“Maka ada kewajaran sebagai bapa dalam keluarga besar kerajaan harus beri pertimbangan (kenaikan gaji), sebab itu kita ambil keputusan berani ini.
“Perbincangan (kenaikan gaji) itu sangat teliti dan mendalam, kita nak pertimbangkan bagaimana harus beri satu kadar yang betul-betul melegakan. Kalau bagi sikit, orang kata ia hanya ala kadar.
“Saya kata, bagaimana boleh dipertimbangkan naik kadar yang boleh bagi keyakinan bahawa pimpinan Kerajaan Madani serius untuk mencari jalan sebaik mungkin membantu (penjawat awam),” katanya.
Dalam majlis berasingan, Perdana Menteri mahu semua warga Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menghentikan amalan tidak wajar dalam setiap tugasan selain menyesuaikannya dengan konsep Malaysia Madani.
Anwar turut menggesa warga JIM supaya melaksanakan tugas dengan ikhlas dan memperbaiki kelemahan sedia ada serta bekerja dalam satu pasukan.
Menurutnya, beliau bersama-sama pasukan JIM dan barisan Kabinet dalam kerajaan sedaya upaya akan melakukan perubahan ini.
“Saya nak tegaskan, saudara sudah menjalankan tugas dengan baik dan penuh tanggungjawab sebaliknya masih ada kelompok kecil yang menyebabkan imej jabatan tercalar.
“Saya harap saudara tidak terguris dengan teguran ini sebaliknya mendukung bersama untuk membetulkan kesilapan,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Madani Jabatan Imigresen Malaysia 2024 di sini, semalam.
Anwar juga mahu syarikat berkaitan kerajaan dan kumpulan perkhidmatan awam mengambil contoh daripada langkah Arab Saudi bertindak proaktif dalam meluluskan segera permohonan melibatkan kepentingan ekonomi dalam tempoh kurang daripada 24 jam.
Perdana Menteri berkata, kecekapan dan kepantasan memberi kelulusan segera itu seterusnya membolehkan negara berkenaan melonjak tinggi.
“Saya kagum dengan tahap kelulusan di Arab Saudi, 9.30 pagi dikemukakan (permohonan pelaburan) dan pada pukul 8 malam, Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed Salman Al Saud telah berikan lampu hijau dan minta diteruskan,” tambahnya. – UTUSAN










