PUTRAJAYA: Kerajaan perpaduan akan menggunakan mekanisme sama dalam memilih calon di Sungai Bakap seperti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, baru-baru ini.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, buat masa ini, tiada perbincangan di peringkat Kerajaan Perpaduan dalam memilih calon berkenaan.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, setakat ini tiada rundingan dilakukan sama ada di peringkat majlis pimpinan atau majlis rundingan kerajaan perpaduan.
“Tapi mengambil sikap dan pendirian kerjasama yang baik di antara parti-parti komponen kerajaan perpaduan sewaktu PRK Kuala Kubu Baharu, saya percaya proses sama akan dituruti di Sungai Bakap.
“Saya lihat, insya-Allah, tidak akan jadi isu dan akan diuruskan melalui mekanisme dalaman bagi kerajaan perpaduan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Kerusi DUN Sungai Bakap diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff, 56, pada 24 Mei lalu akibat radang dalam perut. – UTUSAN










