PETALING JAYA: Petugas media diingatkan memelihara etika laporan dan penyampaian terutama dalam era digital masa kini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara itu selari dengan tema sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) iaitu ‘Etika Teras Kewartawanan Mapan’.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan berintegriti dalam memastikan maklumat yang dipaparkan adalah sahih, bermanfaat serta bertanggungjawab terhadap berita yang dikongsi dan bukan sekadar ‘click-bait’ semata-mata.
“Pada era digital ini yang mana segalanya dapat diakses di hujung jari sahaja, saya amat mengerti cabaran bagi rakan-rakan wartawan dan pengamal media.
“Namun saya percaya anda semua mampu mendepani apa jua cabaran mendatang, sekali gus memastikan industri media di negara ini tetap kekal relevan dan menjadi pilihan,” katanya.
Justeru Fadillah mendoakan semoga setiap insan bergelar wartawan dan pengamal media terus cekal dan tabah serta sentiasa berpegang teguh kepada etika kewartawanan dan kebertanggungjawaban dalam melaksanakan amanah yang diberikan.
“Semoga tugas yang digalas mendapat keberkatan. Selamat menyambut Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024,” katanya. –UTUSAN










