Perutusan PM tak jawab dua persoalan besar - Hamzah

Perutusan PM tak jawab dua persoalan besar – Hamzah

HAMZAH ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perutusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelaksanaan subsidi bersasar membabitkan bahan api diesel bukan saja meresahkan rakyat Malaysia malah langsung tidak menjawab persoalan besar berhubung pengumuman tersebut.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, rasionalisasi subsidi bahan api tentunya akan memberi kesan menyeluruh kepada rakyat kerana ia melibatkan keseluruhan rantaian ekonomi.

Menurutnya, walaupun dalam perutusan tersebut Perdana Menteri menyentuh pelbagai perkara termasuk potensi pelaburan asing mencecah RM76.1 bilion namun pengumuman dibuat itu tidak melegakan rakyat yang sedang dihimpit kenaikan kos sara hidup.

“Hakikatnya perutusan ini bukan sahaja tidak melegakan rakyat yang sedang dihimpit kesan kenaikan kos sara hidup tetapi ia juga mengelirukan serta membangkitkan perasaan marah rakyat apabila berterusan dihidangkan dengan retorik bagi menjustifikasikan kegagalan Perdana Menteri mengotakan janji sebelum berkuasa.

“Persoalan ‘gajah dalam bilik’ yang tidak dijelaskan adalah bila tarikh rasionalisasi subsidi minyak akan dikuatkuasakan dan bagaimanakah mekanisme kerajaan menyalurkan bantuan kepada rakyat? 

“Rakyat mahu tahu, bila sebenarnya harga minyak akan naik? Macam mana mereka mahu mohon bantuan? Ia tidak diperincikan. Setelah berbulan-bulan kerajaan ini masih mengamalkan prinsip ‘umum dahulu, kemudian fikir’,” katanya dalam kenyataan.

Kelmarin, Anwar mengumumkan penyasaran subsidi bahan api mendapat persetujuan Jemaah Menteri dan akan bermula dengan diesel di Semenanjung.

Selain tidak melibatkan pengguna Sabah dan Sarawak, kerajaan akan terus sediakan subsidi kepada peniaga yang menggunakan kenderaan komersial tertentu, melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan; subsidi diesel kepada kategori nelayan tertentu; dan bantuan tunai kepada pemilik individu kenderaan diesel yang layak.

Perdana Menteri juga berkata, majoriti rakyat tidak menerima kesan dan kekal meraih manfaat subsidi; dan penyasaran ini perlu dijayakan untuk menyusun semula struktur kewangan awam.

Dalam pada itu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut turut membidas pengumuman Perdana Menteri berhubung potensi pelaburan asing berjumlah RM76.1 bilion pada suku pertama 2024.

Beliau berkata, realitinya Pelaburan Langsung Asing (FDI) bersih bagi suku pertama 2024 hanya RM5.5 bilion dan jumlah tersebut merudum lebih 50 peratus berbanding RM12 bilion yang diraih untuk tempoh sama 2023. 

Pada masa sama, beliau membangkitkan persoalan berkaitan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.2 peratus bagi suku pertama 2024 juga adalah penurunan signifikan daripada kadar 5.6 peratus untuk tempoh sama 2023. 

“Penurunan kadar pertumbuhan suku pertama 2024 KDNK Malaysia ini bertentangan dengan trend kenaikan KDNK bagi negara jiran dan negara dagangan utama Malaysia.

“Amerika Syarikat misalnya naik dari 1.7 peratus kepada 3.0 peratus; China naik dari 4.5 peratus kepada 5.3 peratus; Singapura naik dari 0.5 peratus kepada 2.7 peratus dan Indonesia juga naik dari 5.0 peratus kepada 5.1 peratus. Jika negara dagangan utama kita naik, mengapa Malaysia turun?,” soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN