PETALING JAYA: Daripada keseluruhan perokok di seluruh negara, kurang 50 peratus daripadanya yang melakukan cubaan untuk berhenti merokok pada tahun lalu dan selebihnya memilih untuk meneruskan tabiat mereka.
Berdasarkan dapatan Global Adult Tobacco Survey (GATS) 2023, jumlah perokok yang cuba berhenti merokok membimbangkan kerana tidak berubah walaupun usaha nasihat untuk berhenti mengalami peningkatan.
Laporan tersebut mendedahkan hanya 49.3 peratus perokok cuba berhenti pada tahun 2023, sedangkan nasihat berhenti merokok daripada penyedia penjagaan kesihatan pula 66.6 peratus.
Ini menunjukkan tiada peningkatan signifikan terhadap cubaan berhenti merokok daripada tahun 2011 hanya 48.6 peratus yang kadar peratusan nasihat diberi pada tahun tersebut adalah 52.6 peratus.
Malah, 41 peratus atau dua daripada lima perokok dilaporkan tidak mempunyai rancangan atau tidak berminat untuk berhenti merokok walaupun menerima pelbagai nasihat terutama mengenai ancaman terhadap kesihatan mereka.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, hampir keseluruhan perokok dewasa sedar mengenai bahaya merokok terutama selepas melihat amaran kesihatan pada kotak rokok.
Bagaimanapun, menurut beliau, perokok memilih untuk tidak mengendahkan tanda amaran itu dan terus merokok kerana isu ketagihan tembakau yang dialaminya.
“Ketagihan tembakau bukan sahaja memberi kesan kepada pemikiran tetapi turut pada fizikal. Malah, kebanyakan populasi yang ketagih untuk merokok ini juga daripada kumpulan sosial ekonomi dan pendapatan yang rendah, termasuk untuk menghilangkan tekanan, mereka memilih untuk merokok.
“Sebab itu, daripada pandangan saya, sudah tiba masanya kita menggunakan cara-cara yang berinovasi dan tidak lagi menggunakan strategi tradisional untuk memastikan perokok berhenti merokok,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Melalui laporan GAST 2023, 70 peratus perokok cuba berhenti tanpa bantuan luar, menggunakan ubat-ubatan (10 peratus), rokok elektronik (14 peratus) dan melalui khidmat kaunseling (lapan peratus).
Mengulas lanjut, Dr. Sharifa Ezat berkata, di luar negara, vape (rokok elektronik) digunakan untuk berhenti merokok tetapi di Malaysia walaupun diberi kebenaran, belum ada peraturan berkaitan rokok elektronik itu.
“Ini termasuk isu vape haram yang turut banyak dijual untuk remaja dan ini menyalahi undang-undang tembakau sedia ada. Vape pakai buang yang mudah dibeli kerana murah juga tidak sesuai
“Jadi perlu ada regulasi supaya vape boleh digunakan secara selamat untuk membantu perokok berhenti merokok,” katanya.
Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan perlu mengehadkan penggunaan peranti vape kepada yang menggunakan sistem tertutup sahaja sebagai usaha untuk membantu perokok berhenti ketagihan kepada tembakau.
“Maknanya, apabila peranti vape itu bukan sistem terbuka maka pengguna tidak boleh campur sebarang barangan larangan ke dalamnya seperti dadah dan sebagainya. Sistem tertutup boleh menjamin kualitinya.
“Selain itu, perubahan rokok ke penggunaan teknik lain juga elok dibantu melalui sistem preskripsi doktor, untuk kepekatan nikotin yang tinggi iaitu lebih dari 20 mg/ml,” jelasnya. – UTUSAN










