IPOH : Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah kecewa berikutan kekalahan 2-3 pasukannya kepada PDRM dalam perlawanan Liga Super di gelanggang sendiri di sini semalam hasil jaringan minit akhir pemain lawan.
Jaringan Ifedayo Olusegun pada saat-saat akhir perlawanan menambahkan kekecewaan Yusri selepas Perak dinafikan sepakan penalti apabila Lee Tae Min dijatuhkan sebelum itu.
“Perit untuk menerima kekalahan sebegini tetapi saya kena reda dengan perancangan Allah, apapun kita perlu menerimanya.
“Banyak kelemahan yang berlaku terutama pada separuh masa pertama dan dua kali kami kena serangan balas,
“Kami dihukum dengan dua jaringan yang amat-amat pedih tapi apa pun kita belajar daripada kesilapan sendiri dan saya faham keinginan penyokong dan pihak pengurusan dengan keadaan terkini pasukan.
“Saya tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak melainkan menyalahkan diri saya sendiri. Saya mengambil tanggungjawab ini seratus peratus dan seandainya diberi ruang untuk perlawanan seterusnya, saya akan melakukan yang terbaik,” katanya.
Pada perlawanan semalam, pengadil Muhammad Munir Mohd Izam menafikan sepakan penalti kepada kedua-dua pasukan selepas merujuk Video Bantuan Pengadil (VAR).
.
Mengenai VAR, Yusri berkata, pemain perlu melatih diri untuk menerima permainan melebihi 90 minit.
“Dengan VAR, dalam keadaan jaringan terhasil sekalipun, pemain tidak boleh meraikan dahulu,” katanya.
Pada aksi semalam, Jaringan Ifedayo Olusegun pada minit-minit akhir perlawanan membantu PDRM mencuri kemenangan 3-2 ke atas Perak FC.
Sebelum itu, Perak mendahului hasil jaringan Tommy Mawat pada minit kesembilan namun Ifedayo Olusegun menyamakan kedudukan pada minit ke-24.
PDRM kemudiannya mendahului 2-1 hasil gol Bruno Suzuki pada minit ke-73 namun Wan Zack Haikal mengikat kedua-dua pasukan 2-2 sebelum Ifedayo menghukum Perak pada minit-minit akhir perlawanan. – UTUSAN










