PUTRAJAYA: Perbuatan mengkafirkan orang lain serta tidak bercampur dengan orang lain boleh membawa kepada kemusnahan lebih dasyat dalam masyarakat.
Itu penjelasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai merujuk kepada siasatan kes serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor yang mengorbankan dua anggota polis Jumaat lalu.
Saifuddin berkata, fokus siasatan polis terhadap kes itu bukan sahaja tertumpu kepada pelaku semata-mata, malah turut membabitkan penghasut (individu terdekat suspek).
Menurutnya, siasatan polis terhadap ahli keluarga suspek mendapati, ahli keluarga suspek tidak suka bercampur dengan orang lain, malah menganggap orang di sekelilingnya kafir.
“Perbuatan mengkafirkan orang boleh membawa kemusnahan dasyat. Dari segi agama pun tidak betul dan tidak boleh mengkafirkan orang sewenang-wenangnya.
“Siasatan mendapati, suspek juga tidak sekolah dan bercampur dengan orang pun tidak. Jadi apa sahaja berkait dengan kerajaan dianggap kafir dan dia juga tidak bercampur dengan orang luar.
“Amalan membawa kepada kepercayaaan bahawa iman kita sendiri sempurna dan orang lain rosak imannya dan kafir tidak harus dibenarkan dalam masyarakat,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.
Katanya, perbuatan mengkafirkan orang lain memberi implikasi besar termasuk boleh memutuskan silaturahim sesama agama serta membawa implikasi buruk lain kepada masyarakat dan negara.
Ditanya mengenai tanggapan awal terhadap suspek yang dikaitkan dengan Jemaah Islamiyah (JI), Saifuddin berkata, apa yang disebut oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini adalah merujuk kepada latar belakang bapa suspek.
“Rekod kita ada profil. Siapa dan di bawah kegiatan apa. Kumpulan mana, polis semua ada profil.
Yang disebut awal oleh Ketua Polis Negara adalah si bapa, namun yang menyerang balai polis ini ialah anak.
“Dari segi faktanya (pegangan) si bapa. Bagi anak pula, kita tiada rekod,” katanya.
Katanya, polis juga akan menentukan apa bentuk penggunaan undang-undang akan dikenakan terhadap ahli keluarga suspek yang ditahan reman sebelum ini.
Jelasnya lagi, beliau memberi ruang kepada polis untuk memperhalusi lagi siasatan dan mencadangkan apa undang-undang yang boleh diguna pakai. – UTUSAN











