Perak harap pembinaan loji air di utara Perak disegerakan - Utusan Malaysia

Perak harap pembinaan loji air di utara Perak disegerakan

SAARANI Mohamad (tengah) pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2024 warga Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak menyambut baik kenyataan Perdana Menteri tentang pembekalan air dari negeri ini ke Pulau Pinang, sekali gus melihat usaha pembinaan prasarana air di utara Perak dapat disegerakan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri sememangnya telah lama merancang untuk membangunkan infrastrktur saliran air dari Sungai Perak ke kawasan Kerian yang bersempadan dengan Pulau Pinang.

Katanya, tujuan sebenar adalah untuk pengairan bagi membantu petani di Kerian yang sering berdepan musim kering.

Namun katanya, apabila Pulau Pinang menyatakan kesanggupan membeli air terawat, maka Perak sendiri telah memohon peruntukan kepada kerajaan Pusat untuk membina loji rawatan air (LRA).

“Bila nak buat air terawat, bermakna kita kena ada LRA. Sebab itu kita kita mohon peruntukan daripada kerajaan Persekutuan supaya mereka beri peruntukan kepada kita untuk bina LRA. Maka air terawat itulah yang kita jual kepada Pulau Pinang.

“Apa yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri itu adalah langkah baik sebab kita menjangkakan mungkin lewat. Tapi dengan pengumuman itu, bermakna (pembinaan) LRA itu dapat disegerakan,” katanya kepada pemberita semasa hadir ke Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2024 warga Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Semalam, Anwar berkata Perak bersetuju membekalkan air ke Pulau Pinang melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) dan perkara itu diperkenan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, perkembangan itu juga memberi manfaat serentak iaitu untuk membekalkan air kepada petani di Kerian, pembangunan KIGIP serta penjualan air terawat ke Pulau Pinang.

Beliau pada masa sama berkata kos pembinaan LRA itu belum dimuktamadkan termasuk jangkaan pendapatan yang bakal diperolehi oleh Perak hasil penjualan air terawat ke Pulau Pinang.

Sementara itu, Saarani berkata, kerajaan Perak juga telah melaksanakan banyak pembaharuan dalam urus tadbir pengurusan tanah negeri termasuk dengan pengenalan e-tanah.

Beliau bagaimanapun menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat apa jua aduan yang ada berkenaan tanah di negeri itu.

“Itu kes 2012, selepas kes itu kita dah ada e-tanah. Kita buat banyak pembaharuan. Jadi kes tu kes lama. Sekarang dah ada e-tanah dan penambahbaikan dari segi pengurusan pejabat tanah dan galian (PTG).

Beliau mengulas  bekas Timbalan Pendaftar Hakmilik di PTG Perak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen minggu lepas atas pertuduhan menipu agensi kerajaan negeri sehingga menyebabkan pemecahan lot Tanah Rizab Melayu melibatkan kawasan seluas 649.2 hektar di Sitiawan, 12 tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN