KAMPAR: Kerajaan negeri Perak sudah menanam sebanyak 7.88 juta pokok setakat ini, melebihi sasaran enam juta pokok iaitu pada nisbah dua juta pokok setahun sejak 2021.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tempoh pelaksanaan bagi program penghijauan selama lima tahun bermula pada tahun 2021.
“Kempen ini digiatkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak. Sasaran dua juta pokok setahun. Kita bermula pada 2021 dan sudah capai 7.88 juta pokok iaitu melebihi yang sepatutnya.
“Saya yakin hasrat untuk mencapai 100 juta pokok akan tercapai,” katanya pada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Pemuliharaan Biodiversiti (Afforestation) AEON Credit di Taman Alam Kinta di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi AEON Credit, Ng Eng Kiat dan Pengarah Urusan AEON Credit, Daisuke Maeda.
Pada program itu, AEON Credit, Perbadanan Taman Negeri Perak dan FRIM Incorporated Sdn. Bhd. menyasarkan untuk menanam semula 10,000 pokok hutan dan buah spesies tempatan di taman seluas lebih 20 hektar itu menjelang September tahun ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata, kerajaan negeri akan terus memperkasa dan menjaga kelestarian tiga taman negeri berpotensi tinggi untuk pelancongan bercirikan semulajadi dan kaya dengan flora dan fauna iaitu Taman Negeri Royal Belum (Gerik), Taman Negeri Pulau Sembilan (Lumut) dan Taman Alam Kinta di Kampar.
“Ketiga-tiga taman ini merupakan produk pelancongan sempena Tahun Melawat Perak 2024,” katanya.
Berhubung pencerobohan simpan di negeri ini oleh individu-individu tidak bertanggungjawab, beliau berkata anggota penguat kuasa ditambah kerana kawasan tersebut yang luas dan tidak berpagar.
“Ada orang masuk malam, ada orang menyalahgunakan hubungan baik dengan Orang Asli kita tidak dapat kawal, kecuali ada penguat kuasa yang mencukupi untuk memantau dari masa ke semasa,” katanya.
Khamis lalu, lapan lelaki didenda RM7,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar selepas mengaku bersalah memasuki Hutan Simpanan Kekal di daerah Hulu Perak tanpa permit yang sah pada 7 hingga 8 Mac lalu untuk mengebom ikan di sungai kawasan hutan itu. – UTUSAN










