PETALING JAYA: Pihak Sekretariat Gabungan eHailing Malaysia (GEM) menyokong sepenuhnya penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig.
Ketua Aktivis Gabungan eHailing Malaysia, Jose Rizal berkata, penubuhan Suruhanjaya ini akan dapat menoktahkan segala isu dan permasalahan berpanjangan di dalam hal berkaitan isu kadar upah yang tidak tetap dan rendah.
“ Selain dapat memperkasakan perlindungan sosial secara komprehensif dan holistik, suruhanjaya ini diyakini memberikan jaminan beberapa hak.
“ Antara hak tersebut berkaitan dengan hak memperoleh pendapatan yang ADIL, hak mendapatkan representasi yang ADIL, hak untuk mendapatkan sumber atau dana dari pihak kerajaan.
“Selain itu, hak untuk mendapatkan jaminan keselamatan sosial, jaminan simpanan masa hadapan dan jaminan kesihatan dan juga hak untuk protes atau berunding,” katanya dalam kenyataan semalam.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana semalam sekali lagi memperingatkan akan pentingnya disegerakan penubuhan Suruhanjaya Pekerja GIG di dalam ucapan beliau dalam “Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2024” di PICC Putrajaya.
Suruhanjaya Pekerja Gig itu ditubuhkan bagi melindungi hak pekerja gig yang kini sudah mencecah 1.12 juta rakyat, terutama dalam kalangan anak muda.
Sehubungan itu, Jose berkata, Suruhanjaya ini akan mendapatkan punca kuasa sebagai sebuah badan yang akan melindungi perihal berkaitan sosio ekonomi.
“Kami yakin bahawa perihal sosio ekonomi akan dilindung secara adil lagi saksama dan mengekalkan DNA hibrid penggiat industri,” ujarnya. –UTUSAN










