Penjawat awam bermasalah tidak naik gaji automatik

Penjawat awam bermasalah tidak naik gaji automatik

ANWAR Ibrahim (tengah) ketika meninjau reruai Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang mempamerkan replika LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang di Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara di Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang, semalam. Turut kelihatan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (kanan) dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (kiri).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kerajaan akan memperkenalkan kaedah yang melihat kepada prestasi kerja dan kecekapan penjawat awam bagi menentukan sama ada mereka berhak menerima kenaikan gaji secara automatik sepenuhnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan gaji perlu dilaksanakan secara reformasi dari segi tahap perkhidmatan, efisien dan ke­upayaan mening­katkan prestasi kerja masing-masing.

“Sekarang ini ikut tahun (kenaikan gaji). Kadangkala orang itu lembab bekerja, dia tidak hadir, ada masalah disiplin tetapi terus dinaikkan gaji secara automatik juga.

“Jadi, kita ingin ingatkan bahawa mungkin (berlaku kenaikan gaji) tidak secara automatik. Mungkin 95 peratus (naik gaji) tetapi empat atau lima peratus yang lembab atau ada masalah kita akan perkenalkan kaedah supaya dinafikan (kenaikan gaji).

“Perkara ini akan diumumkan sekali gus dengan sistem persaraan supaya pemilihan (kenaikan gaji) itu berdasarkan prestasi,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penutup Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara, di Tapak Pesta Sungai Nibong, di sini, semalam.

Beliau sebelum ini mengumumkan penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus yang merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, mulai 1 Disember ini.

Anwar berkata, adalah tidak adil kepada penjawat awam yang bekerja bersungguh-sungguh kerana mereka yang malas serta lembab dalam melaksanakan tugas turut mendapat kenaikan gaji yang sama.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta agensi atau kementerian berkaitan melatih golo­ngan muda menguasai teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam bidang itu.

Beliau berkata, golongan muda yang berminat termasuk mereka yang belajar di maahad tahfiz diberi pendedahan me­ngenai bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Selain itu, kata beliau, latihan berkaitan AI dan TVET mesti memberi peluang kepada semua penduduk di setiap kawasan bagi mengelakkan perbezaan keupayaan antara kawasan bandar dan pedalaman.

“TVET harus ditingkatkan untuk memenuhi (permintaan pelabur) seperti tiga atau empat hari lalu, kita ada Microsoft yang melabur RM10.5 bilion dan ini memerlukan puluhan ribu pekerja. Kalau pelaburan itu melibatkan semua ekosistem maka ratusan ribu pekerja harus dilatih. Apakah kita ada keupayaan itu?,” soalnya.

Dalam pada itu, beliau mahu penjawat awam dan agensi kerajaan melakukan anjakan dalam semua bidang untuk meningkatkan tahap efisien bagi menarik pelabur asing ke negara ini.

Anwar berkata, peningkatan tahap efisien itu perlu dilakukan dengan sedaya upaya memandangkan fokus utama negara kini adalah dasar yang jelas dan kecepatan kelulusan dalam semua bidang.

Katanya, semua pihak terutama pelabur tidak boleh bersabar dan menerima alasan yang remeh berkaitan dengan tahap efisien dalam perkhidmatan.

“Pelabuhan harus efisien, lapangan terbang harus efisien. Efisien ini maknanya penumpang tidak boleh menunggu berjam-jam.

“Saya berikan contoh. Dua jam di Lapangan Terbang New York (Amerika Syarikat), ia tidak jadi masalah sebab New York adalah tempat tumpuan.

“Tapi kalau dua jam (menunggu) di Pulau Pinang atau Kuala Lumpur, itu tidak boleh. Sebab itu saya buat keputusan dengan kelulusan Jemaah Menteri bahawa semua pihak jangan bagi alasan remeh kerana orang tidak boleh sabar dengan tidak efisien dalam perkhidmatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN