NIBONG TEBAL : Tarikh pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikekalkan pada 27 Mei depan seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pemilihan tarikh itu tidak akan menjejaskan perancangan cuti guru, malah, akan memberi masa secukupnya buat pelajar lepasan SPM untuk membuat permohonan kemasukan ke institut pengajian tinggi (IPT).
Fadhlina berkata, dalam isu ini, beliau mendengar segala pandangan yang dikemukakan oleh semua pihak apatah lagi ia berkait rapat dengan isu kesejahteraan guru.
“Saya tekankan bahawa tarikh keputusan pengumuman SPM akan dikekalkan pada 27 hari bulan sebagaimana yang telah kita umumkan.
“Guru-guru yang telah merancang percutian, teruskan bercuti kerana tidak ada masalah, apatah lagi keputusan (SPM) boleh diperolehi secara dalam talian dan khidmat pesanan ringkas (SMS).
“Manakala anak-anak yang tidak mempunyai akses dalam talian (Internet) pula boleh mendapatkan keputusan di mana-sekolah terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas berhubung rayuan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang memohon KPM mengumumkan keputusan SPM lebih awal iaitu pada 23 Mei ini.
Terdahulu, Fadhlina merasmikan Karnival HIP Peringkat Negeri Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Indah, di Nibong Tebal di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, sesi libat urus turut akan dilaksanakan bagi memastikan tiada isu berbangkit semasa pengumuman keputusan SPM itu nanti.
“Apa yang paling penting adalah anak-anak ada masa untuk buat persiapan khususnya permohonan UPU (Unit Pusat Universiti).
“Bagi pihak pentadbir pula, mereka masih ada masa selama tiga minggu untuk menguruskan perihal berkaitan pengumuman keputusan SPM.
“Tempoh masa ini panjang dan mencukupi untuk pihak sekolah merancang dan menyelaras mekanisme pengurusan serta pentadbiran sebelum pengumuman dibuat,” katanya.
Semalam, Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon memohon keputusan SPM diumumkan awal kerana guru-guru sudah membuat perancangan awal sempena cuti persekolahan yang bermula pada 25 Mei ini.-UTUSAN










