Pengasuh direman bantu siasatan kes bayi meninggal

Pengasuh direman bantu siasatan kes bayi meninggal

SEORANG bayi perempuan berusia tujuh bulan dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan telah meninggal dunia, semalam.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Seorang pengasuh wanita berusia dalam lingkungan 30-an direman empat hari susulan kematian seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, perintah reman itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam bermula hari ini sehingga 10 Mei bagi membantu siasatan.

Terdahulu katanya, polis menerima maklumat dari Hospital Seberang Jaya (HSJ) yang memaklumkan telah menerima seorang bayi perempuan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan telah meninggal dunia.

“Hasil siasatan awal mendapati, bayi berkenaan ditinggalkan kepada pengasuh oleh sepasang suami isteri setiap hari pada hari bekerja.

“Ketika kejadian, bayi itu dikatakan sedang tidur di dalam buaian dan didapati tidak sedarkan diri ketika pengasuh terbabit hendak membetulkan kedudukannya.

“Suspek kemudiannya membawa bayi berkenaan ke HSJ untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum bayi itu disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4 petang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Helmi berkata, hasil laporan bedah siasat mendapati, kematian bayi itu berpunca daripada jangkitan kuman pada saluran pernafasan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN