Pengalaman empat dekad Erma Fatima - Utusan Malaysia

Pengalaman empat dekad Erma Fatima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMA pelakon dan pengarah ini kembali meledak gara-gara kelantangan beliau mengecam tindakan bekas kekasih gelap pelakon Aliff Aziz, Sarah Yasmine yang mencetuskan huru-hara dalam industri seni menerusi pendedahan-pendedahan berkenaan sikap curang pelakon tersebut.

Kelantangan pelakon berusia 56 tahun itu disalah erti, menjemput kemarahan segelintir rakyat Singapura yang menganggap beliau bermain sentimen kenegaraan dan keterlaluan dalam memberi pandangan.

Erma sebelum ini sudah pun membuat permohonan maaf. Jelasnya, teguran yang dibuat hanya ditujukan kepada mereka yang berkenaan. Bukan kepada rakyat Singapura secara amnya.

“Waktu itu saya emosi, mungkin kerana muak dengan lambakan cerita tentang Yasmine dan rumah tangga Aliff yang semakin rancak dimainkan media.

“Hakikatnya, teguran itu saja ditujukan individu tertentu, bukan kepada semua rakyat Singapura.

“Ramai orang di Singapura yang saya sayang. Peminat juga pelakon dari negara itu yang sebelum ini saya didik mereka. Bukan niat saya untuk memporakperandakan keadaan,” kongsinya.

KECAMAN

PELBAGAI kecaman diterima Erma, kebanyakannya agak keterlaluan dan tidak kurang juga yang berupa ancaman.

Ada yang mengajak netizen memboikot produk yang dihasilkannya selain meminta kerajaan Singapura menyekat kemasukan beliau ke negara itu.

Kata Erma, dia tidak mampu menghalang segala caci maki serta ancaman yang dilayangkan netizen, sekadar berlapang dada dan menerima semuanya dengan hati yang terbuka.

“Orang nak boikot, marah, keji, sekat saya masuk Singapura. Saya tak boleh halang, kena terima.

“Mungkin itu bayaran atas kesilapan saya mengeluarkan kenyataan dalam keadaan marah. Saya akui memang reaksi saya ketika itu agak tidak beradab.

“Apa pun, netizen berhak bersuara atau marah, seperti mana saya ada hak untuk mengeluarkan pandangan,” sambungnya.

Dalam pada itu, Erma memaklumkan tidak sesekali membaca komen di media sosial bagi mengelak daripada berkecil hati atau terkesan dengan kata-kata kesat netizen.

“Saya juga manusia biasa, pasti terkesan. Jadi, seeloknya tak perlulah saya baca komen di media sosial.

“Kalau baca nanti emosi dan membuatkan kita nak balas segala komen yang dilayangkan. Jadi, lebih baik saya hindarkan,” kongsinya lagi.

ROZANA CINTA 87

BAGI yang menyerang Erma di media sosial, mungkin mereka lupa bahawa pelakon ini lebih awal ‘makan garam’.

Malah, beliau sudah pun menghadapi kontroversi sepanjang pembabitan 38 tahun dalam dunia drama dan perfileman.

Sebanyak 34 filem, 18 drama dan 20 telefilem dibintangi anak seni kelahiran Kuala Lumpur ini.

Filem terawal dibintanginya adalah Hantu Siang yang ditayangkan pada 1986. Namun, bagi pemilik nama sebenar Fatimah Rahmad Ali ini, filem Rozana Cinta 87 adalah yang terawal melonjakkan namanya dalam dunia seni tanah air.

“Saya tidak terfikir nak jadi pelakon, sekadar nak cari duit lebih dengan menjadi pelakon ekstra. Kawan-kawan pun ajak ke sesi uji bakat untuk watak ekstra dalam filem Rozana Cinta 87 dan saya dapat peranan itu.

“Saya tak sangka pengarah, Nasir Jani tawarkan saya watak Nomi disebabkan pelakon, Liza Othman yang sepatutnya membawa peranan tersebut terpaksa ditukar pada saat akhir.

“Saya awalnya tak yakin, minta Nasir beri tempoh untuk saya membuat keputusan. Pengarah yakin dengan kemampuan saya dan mahu serta merta saya gantikan pelakon asal untuk watak itu,” jelasnya.

Kongsi Erma, banyak pengalaman berharga yang tak dapat dilupakannya sepanjang proses menjayakan filem tersebut. Antaranya dimarahi pengarah ketika menjayakan sebuah babak di Pasar Seni, Kuala Lumpur.

“Bayangkan pengarah marahi saya depan orang ramai yang menyaksikan penggambaran filem tersebut pada ketika itu.

“Selain itu, adegan buka baju dalam filem itu juga antara babak yang sukar untuk saya lakukan. Berkali-kali saya pujuk pengarah, menangis kerana tak rela melakukan babak tersebut.

“Ketika itu saya ingat nasihat mak ayah agar jangan calar maruah keluarga. Tambahan pula, bukan senang pujuk ayah untuk minta kebenaran berlakon.

“Tapi Nasir yakinkan saya bahawa ia sekadar lakonan dan bukan memerlukan saya untuk buka baju. Akhirnya babak itu berjaya saya lakonkan,” ujarnya.

Kata Erma lagi, beliau beruntung kerana berpeluang berlakon di bawah arahan pengarah hebat seperti Nasir.

“Saya dapat bekerja dengan pengarah yang tak ajar saya gadai maruah dalam industri.

“Sejak itu ibaratnya saya tidak diizinkan menjadi seksi. Kebanyakan sesi fotografi saya hanya membabitkan pemakaian baju kemeja T dan berseluar jeans.

“Keadaan itu membuatkan saya teringin untuk memakai pakaian seksi dalam sesi fotografi. Keinginan itu saya terlunas menerusi sesi fotografi yang dibuat bersama sebuah majalah tempatan,” ceritanya.

PELAKON WANITA TERBAIK

ERMA membuktikan dia pelakon berbakat besar menerusi kemenangan dua trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) yang masing-masing dimenanginya pada tahun 1990 menerusi filem Hati Bukan Kristal dan Femina (1994).

Beliau sempat menceritakan momen kemenangan tiga dekad lalu yang baginya, terlalu bermakna sepanjang bergelar anak wayang.

“Firasat saya mengatakan Sofia Jane akan menang. Pengkritik dan media juga menjangkakan perkara sama.

“Bayangkan kami tinggal di bilik hotel yang sama sebelum malam penganugerahan itu dan sering saya katakan padanya dialah yang akan menggenggam trofi itu.

“Namun bila saya pula diumumkan sebagai pemenang, yang hanya saya fikirkan adalah Sofia. Apa berlaku kepadanya di belakang pentas. Saya ketika itu rasa ‘berdosa’ kerana menjadi pemenang.

“Untuk mengelakkan kami diserang wartawan, saya segera mengajaknya pulang ke hotel dengan berjalan kaki sebelum majlis berakhir.

“Malam itu juga saya tinggalkan nota di bilik juri, menyampaikan hasrat untuk bertemunya bagi mendapatkan jawapan kenapa saya yang menjadi Pelakon Wanita Terbaik FFM 1994,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya