Penempatan Bukit Malut turut disentuh dalam pertemuan Anwar, Sanusi - Utusan Malaysia

Penempatan Bukit Malut turut disentuh dalam pertemuan Anwar, Sanusi

ANWAR Ibrahim dan Muhammad Sanusi Md. Nor ketika menyertai Mesyuarat Khas Pembangunan di Wisma Darul Aman, Alor Setar. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Program penempatan semula perumahan Bukit Malut di Langkawi antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Pembangunan yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, petang tadi.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perkara itu dibangkitkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurutnya, Saifuddin mencadangkan supaya isu Bukit Malut diselesaikan segera setelah berlarutan sejak sekian lama.

“Projek ini di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN), mereka yang perlu selesaikan dan kita bersedia untuk memberi apa-apa bantuan yang diperlukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat berkenaan di Wisma Darul Aman.

Turut serta dalam mesyuarat itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali turut menyertai sesi tersebut bersama-sama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah.

Tambah Muhammad Sanusi, perumahan yang bersesuaian dengan aktiviti harian penduduk di situ yang rata-ratanya bekerja sebagai nelayan perlu disediakan di kawasan berhampiran laut.

“Kita sedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, kalau mereka sediakan tanah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bersebelahan penempatan sedia ada untuk bina rumah kita sedia bantu.

“Di situ juga ada tanah Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan tanah rizab kerajaan. Orang Bukit Malut sedia untuk beli rumah. Sekarang mereka nak beli tapi tidak ada penawaran,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi memaklumkan pertemuan lebih satu jam itu berlangsung dengan penuh harmoni melibatkan perbincangan terhadap isu-isu kerajaan, pentadbiran dan projek-projek yang perlu diutamakan.

“Banyak kita minta antaranya lapan projek yang yang disenaraikan dan berbelas-belas yang kita tak sebut dalam mesyuarat tapi dimasukkan dalam senarai.

“Tadi kita cuma sampaikan apa yang menjadi keutamaan kerajaan negeri. Ada perkara yang Perdana Menteri terus setuju, ada benda yang perlu kepada perincian di pihak kementerian,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN