Pemangku Raja Perlis seru tingkatkan transformasi pendidikan berkualiti - Utusan Malaysia

Pemangku Raja Perlis seru tingkatkan transformasi pendidikan berkualiti

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyempurnakan majlis pengisytiharan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hussein yang sebelum ini dikenali sebagai SMK Arau hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru semua pihak memainkan peranan masing-masing bagi mencapai transformasi pendidikan berkualiti.

Titah baginda, selain itu, lonjakan yang berupaya memberi pendidikan bermakna dan berimpak tinggi kepada generasi pewaris negara.

Baginda bertitah, sekolah adalah wadah untuk memperoleh pengetahuan, kemahiran dan nilai melalui kurikulum kebangsaan yang dirangka khusus untuk melahirkan insan seimbang dan harmonis daripada segi intelek, rohani, emosi serta jasmani sebagai mana yang terkandung dalam falsafah pendidikan kebangsaan.

“Guru-guru juga perlu menyahut cabaran ini dengan melengkapi diri dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran untuk meningkatkan kompetensi berkaitan pedagogi dan pengurusan pengajaran serta pembelajaran (PdP) yang berkualiti, berkesan serta bermakna kepada murid,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan majlis pengisytiharan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hussein yang sebelum ini dikenali sebagai SMK Arau di sini hari ini.

Keberangkatan tiba baginda yang diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Pengetua sekolah tersebut, Noryah Md Noh.

Sementara itu, Fadhlina berkata, beliau menaruh harapan agar para pelajar dan warga pendidik di sekolah berkenaan mampu mengimplementasi dan menghayati Dasar Pendidikan Digital (DPD) selaras dengan kehendak Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2023-2025.

“DPD adalah bertujuan untuk melahirkan pelajar fasih digital iaitu mampu menjadikan aktiviti pembelajaran sebagai aktiviti yang menyeronokkan dan bermakna.

“DPD juga turut mengupayakan golongan pendidik dan pemimpin pendidikan untuk mengintegrasi teknologi digital dalam ekosistem pendidikan kini. Dasar ini juga dilihat mampu menjadi pemangkin dalam pembentukan masyarakat Madani.

“Kita juga berharap warga pendidik dan pihak pengurusan Jabatan Pendidikan negeri memberi perhatian kepada tujuh teras utama pendidikan yang menjadi tumpuan Kementerian Pendidikan dalam menerajui sistem pendidikan negara terutamanya terhadap isu kemiskinan multidimensi murid daripada keluarga B40 termasuk aspek peranti dan ruang pembelajaran,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya