Pemahaman antara budaya kenali sesama manusia - Anwar

Pemahaman antara budaya kenali sesama manusia – Anwar

ANWAR Ibrahim ketika menyampaikan ucapan bagi meraikan jasa dan peranan Izutsu selaku seorang pemikir dan tokoh filasuf Jepun di Universiti Keio, Tokyo.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan amalan pemahaman antara budaya untuk mengenali lebih antara sesama manusia.

Perdana Menteri berkata, beliau mengambil contoh seorang tokoh pemikir Jepun, Prof. Toshihiko Izutsu yang berjaya merapatkan jurang budaya dan bahasa serta memupuk pemahaman silang budaya lebih mendalam terhadap pemikiran Islam dalam konteks kenegaraan dan masyarakat di negara matahari terbit itu.

Beliau berkata, Izutsu semasa hayatnya memberi impak besar kepada landskap akademik dan falsafah global kerana ilmunya yang mendalam berkaitan Islam di samping mempunyai karya besar seperti ‘Sufism dan Taoism’.

“Saya tekankan keupayaan Izutsu untuk merapatkan jurang budaya dan bahasa serta memupuk pemahaman silang budaya yang lebih mendalam dan penghargaan terhadap pemikiran Islam dalam konteks kenegaraan dan masyarakat di Jepun.

“Saya juga maklumkan bahawa sumbangan Izutsu kepada dunia lapangan intelektual, teologi, dan falsafah sangat luas dan rencam sehingga sukar untuk menentukan sumbangan terbesar beliau,” katanya ketika menyampaikan ucaptama bagi meraikan jasa dan peranan Izutsu selaku seorang pemikir dan tokoh filasuf Jepun di Universiti Keio, Tokyo.

Izutsu ialah seorang sarjana Jepun yang pakar dalam pengajian Islam dan perbandingan agama serta dikenali seseorang telah menterjemahkan al-Quran dalam bahasa Jepun.

Menurut Anwar, antara pencapaian luar biasa Izutsu adalah menterjemahkan Al-Quran ke dalam bahasa Jepun sekali gus menjadi pencapaian luar biasa kerana mempunyai kemahiran dan garapan linguistik yang mendalam.

“Tugas menterjemahkan al-Quran sangat mencabar kerana dimensi linguistik, teologi, falsafah, spiritual, dan mistik yang kompleks. Bagi umat Islam, Al-Quran tidak sekadar teks tetapi ia adalah wahyu ilahi dengan lapisan makna yang mendalam.

“Oleh itu, pendekatan Izutsu dalam terjemahan melibatkan lebih daripada sekadar menukar kata-kata Arab ke dalam bahasa Jepun bahkan ia perlu pemahaman yang mendalam tentang bahasa Arab, tradisi Islam serta bahasa semitik,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, usaha Izutsu menterjemah al-Quran ke bahasa Jepun telah menjadikan teks suci ini boleh diakses oleh pembaca berbahasa Jepun sekali gus menggalakkan pemahaman silang budaya.

Katanya, usaha ini menunjukkan komitmennya untuk merapatkan jurang budaya dan linguistik, serta menyumbang kepada kajian Islam dengan dengan sangat ketara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×