KUALA NERUS: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan secara menyeluruh berhubung kejadian menimpa dua pemain skuad Harimau Malaya, Akhyar Rashid dan Faisal Abdul Halim.
Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim, berkata, kejadian yang berlaku dalam waktu singkat itu dikhuatiri menimbulkan rasa takut kepada pemain menjelang sepak mula Liga Super, hujung minggu ini.
Menurut beliau, pihak berkuasa tidak boleh berkompromi dengan pelaku kedua-dua insiden malang berkenaan dan perlu mengheret dalang yang terlibat ke muka pengadilan.
“Dua kejadian jenayah membabitkan pemain skuad kebangsaan itu dalam tempoh beberapa hari adalah gambaran tidak sihat untuk membuka musim baharu Liga Malaysia (Liga M).
“Apa yang pasti, isu keselamatan boleh mengancam keselamatan pemain sehingga trauma. Semoga kes ini tidak melarat dan disiasat dengan baik oleh PDRM,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Mohd. Sabri Abas9 berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan lanjut kes samun dan pukul menimpa Akhyar, Khamis lalu.
Menurut beliau, insiden tersebut dipandang serius sambil turut bersimpati dengan nasib Faisal yang juga bekas pemain TFC yang disimbah cecair dipercayai asid di sebuah pusat membeli-belah di Selangor, semalam.
Katanya, beliau yakin PDRM akan menyiasat secara terperinci bagi mengesan suspek yang berani melakukan perbuatan tersebut di tempat awam seterusnya mengheret mereka ke muka pengadilan.
“Akhyar kini dalam keadaan stabil namun tahap kecederaannya akan dinilai sebelum kembali menyertai pasukan di padang dan kami berharap dua pemain ini tabah dengan kejadian yang berlaku,” katanya.
Pada Khamis lalu, pemain berusia 25 tahun itu disamun dua lelaki bertopeng memakai jaket ‘hoodie’ serta bersenjata besi boleh laras berhampiran kondominium kediamannya dekat bandar Kuala Terengganu yang bertindak memukulnya sehingga menyebabkan kecederaan selain kerugian hampir RM5,000.
Sementara itu, dalam kejadian semalam, Faisal pula diserang oleh individu tidak dikenali sehingga badannya mengalami luka teruk selepas disembah asid. – UTUSAN










