PETALING JAYA: Bursa Malaysia menjadi pasaran saham terbaik di Asean dengan Indeks FBM KLCI menyaksikan kenaikan dari awal tahun sehingga 7 Mei 2024 sebanyak 10.4 peratus, kata MIDF Reseach.
Firma penyelidikan itu berkata, berbanding dengan rakan setaranya yang lain, hanya Nikkei Jepun telah mengatasi prestasi dengan peningkatan sebanyak 16 peratus.
“Kami percaya salah satu faktornya ialah sokongan yang diberikan oleh pelabur tempatan dan pulangan dana asing pada Mei.
“Walaupun kami melihat aliran keluar bersih dana asing sebanyak RM4.25 bilion dalam tempoh antara Mac dan April 2024, ia telah menyaksikan aliran masuk bersih RM1.0 bilion setakat bulan ini.
“Kami yakin dengan prospek dana asing kembali ke pasaran Malaysia berikutan pemotongan kadar AS dan jangkaan dolar AS akan melemah berikutan ini,” katanya dalam nota penyelidikan.
Pasaran saham Malaysia mencatatkan permodalan pasaran mencecah RM2 trilion buat kali pertama kelmarin berikutan kenaikan meluas dalam saham mewah dan beberapa penyenaraian baharu.
Indeks FBM KLCI kelmarin meningkat empat hari berturut-turut untuk ditutup melepasi paras 1,600 buat kali pertama dalam tempoh dua tahun.
Semalam, indeks petunjuk rendah sedikit pada 1,604.75, turun 0.93 mata namun masih di tahap yang baik apabila melepasi paras 1,600.
MIDF Research menjangkakan prospek yang baik untuk aktiviti dagangan di Bursa Malaysia tahun ini dari sudut pandangan pendapatan dan penilaian korporat.
“Kami juga menjangkakan jangkaan pengurangan kadar AS akan membawa kepada sentimen positif, terutamanya dalam kalangan pelabur asing, dan ini akan memacu penilaian pasaran yang lebih baik,” katanya.
Walau bagaimanapun, katanya, dalam jangka pendek, perkembangan global dan tempatan akan terus mempengaruhi turun naik tidak menentu dan prestasi pasaran sekuriti dan derivatif.
“Oleh itu, kami mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas saham (Bursa Malaysia) dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM8.20,” katanya. – UTUSAN










