OKU dipenjara enam tahun, enam sebatan laku amang seksual anak tiri - Utusan Malaysia

OKU dipenjara enam tahun, enam sebatan laku amang seksual anak tiri

TERTUDUH (kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) dipenjara enam tahun dan dikenakan enam sebatan kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya, dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Nooriah Osman membuat keputusan itu hari ini terhadap tertuduh yang kudung tangan kirinya selepas tertuduh didapati bersalah atas tiga tuduhan tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan yang juga anak tirinya yang ketika kejadian berusia 10 tahun tujuh bulan.

Tertuduh, 44, yang bekerja sebagai buruh didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu di sebuah rumah di daerah ini antara bulan April sehingga Mei 2022.

Tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Bagi setiap pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) AKKSTKK 2017 itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan dua sebatan.

Mahkamah kemudian mengarahkan hukuman penjara bagi pertuduhan pertama dan kedua berjalan serentak bermula daripada tarikh sabitan iaitu hari ini.

Manakala bagi hukuman pertuduhan ketiga, mahkamah mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selepas selesai tempoh hukuman pertuduhan pertama dan kedua.

Selain itu, tertuduh turut diarahkan berada dalam pengawasan polis selama dua tahun mengikut Seksyen 27 AKKSTKK 2017 sebaik selesai menjalani hukuman penjara berkenaan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN