Noktah kemiskinan tegar di Terengganu dua bulan lagi

Noktah kemiskinan tegar di Terengganu dua bulan lagi

ANWAR Ibrahim bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 di pekarangan Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Semua agensi Persekutuan di Terengganu diarah menyelaras gerak kerja bersama kerajaan negeri bagi menoktahkan kemiskinan tegar di negeri itu dalan tempoh dua bulan ini.

Perdana Menteri, Datuk Se­ri Anwar Ibrahim berkata, se­hingga 2 Mei lalu, terdapat 1,663 keluarga masih berada dalam kelompok miskin tegar di Terengganu.

“Insya-Allah di negeri Te­rengganu kita boleh noktahkan kemiskinan tegar dalam tempoh dua bulan akan datang.

“Besar harapan saya agar semua kementerian dan agensi yang berkaitan memberi perhatian khusus dan segera bagi memastikan kelancaran peran­cangan dan pelaksanaan projek-projek di Terengganu ini se­cara berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian pa­da Majlis Sambutan Aidilfitri Ma­dani 2024 di pekarangan Kom­pleks Sukan Gong Badak di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dalam pada itu, beliau membeeitahu, perbelanjaan pemba­ngunan hasil peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri mencecah RM7 bilion pada tahun ini.

Jelasnya, antara projek pembangunan yang bakal dilaksana merangkumi tebatan banjir, be­kalan air, keterjaminan maka­nan, keselamatan di pintu ma­suk pusat pelancongan negeri dan kesejahteraan sosial.

“Kita juga baru luluskan tadi projek baik pulih hospital dan klinik baru di Besut,” ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata, Terengganu mahu memfo­kus­kan persamaan yang ada de­ngan kerajaan Persekutuan dan mengetepikan sebarang per­bezaan dalam memastikan hubungan yang baik antara kedua-dua pihak demi kesejah­teraan rakyat.

Beliau berkata, kerajaan ne­geri juga mengulangi komitmen kerajaan negeri yang tidak berbelah bagi dalam mencapai hasrat itu.

“Antara persamaan yang ada antara kerajaan negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan adalah untuk menoktahkan kemiskinan tegar.

“Persamaan yang lain ia­lah dalam usaha membawa pe­la­bur, meningkatkan kecekapan tata kelola, pentadbiran yang berintegriti, meningkatkan kua­liti hidup rakyat dan sebagainya.

“Jika kita senaraikan satu per satu, sudah pasti kita akan dapati terlalu banyak persamaan hala tuju, dasar dan pendekatan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN