JOHOR BAHRU: Seorang nenek berusia 75 tahun antara empat suspek disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dan pembungkusan dadah ditahan di sebuah rumah atas air di sekitar Pontian, Sabtu lalu.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, serbuan bermula pukul 1.30 pagi itu berjaya merampas pelbagai jenis dadah seberat lebih 26 kilogram (kg) dengan nilai keseluruhan RM4.3 juta.
Katanya, serbuan adalah hasil risikan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis (IPK) Johor dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian.
Tambahnya, kegiatan sindiket tersebut dipercayai telah beroperasi selama tiga bulan sejak Februari lalu.
“Modus operandi sindiket ini adalah menjadikan rumah atas air sebagai tempat pemprosesan dan tempat pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Kebiasaannya lokasi yang dijadikan pusat menjalankan kegiatan seumpama ini adalah kawasan perumahan berpengawal dan berpagar seperti pangsapuri tetapi ini rumah biasa.
“Kalau kita lihat, kita mungkin tidak mengesyaki rumah seperti ini digunakan, ini salah satu modus operandi baharu untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Polis merampas 25.5 kg serbuk ektasi, 970 biji pil eramin 5 seberat 275 gram (g), 1,700 biji pil ektasi (532g), sepeket ketamin (232g) dan 15 peket ganja (369g) yang bernilai RM4.32 juta.
Dalam serbuan sama, polis turut merampas pelbagai alat memproses dadah dan membungkus serbuk ekstasi.
Sebanyak enam kereta, wang tunai RM21,000 dan wang tunai dolar Singapura $13,000 (RM45,676) turut dirampas.
Kumar memberitahu, rumah tersebut merupakan milik dua beradik iaitu suspek wanita warga emas bersama salah seorang suspek lelaki yang ditahan.
Katanya, sindiket berkenaan juga membuat inovasi sendiri dengan menghasilkan tempat untuk mengeringkan serbuk ekstasi sebelum dibungkus.
“Mereka juga menghasilkan mesin acuan pil ekstasi dan erimin 5 bagi mendapatkan cetakan pil yang kemas.
“Sebiji pil ekstasi dijual pada harga RM20 sebiji di pasaran tempatan. Dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 88,234 orang penagih,” katanya.
Katanya, hasil saringan air kencing mendapati tiga suspek lelaki positif dadah methaphetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN










