Negara rugi RM1.2j sehari angkara diesel diseludup

Negara rugi RM1.2j sehari angkara diesel diseludup

AEDY Fadly Ramli (tengah) menunjukkan tangki yang diubahsuai pada kenderaan asing yang menyeludup diesel dalam Op Tangki di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Negara dianggarkan rugi kira-kira RM1.2 juta sehari ekoran penyeludupan diesel oleh kenderaan asing di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, di sini.

Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli berkata, kebanyakan penyeludup sering berulang alik ke negara ini hingga mencecah lima kali sehari. 

“Dalam operasi dilakukan, 350 kenderaan diperiksa dan 18 daripadanya terlibat dengan penyeludupan diesel. Mereka guna kenderaan yang diubah suai tangki untuk seludup diesel hingga lima perjalanan sehari. 

“Berdasarkan pengiraan, nilai kasar jika semua 18 kenderaan itu melakukan penyeludupan untuk satu perjalanan sehari mencecah hingga RM250,000 tapi rata-rata pemandu yang ditahan mengaku membuat hingga lima perjalanan sehari. 

“Itu bermakna, ketirisan ditanggung mampu mencecah hingga RM1.2 juta sehari di sempadan Bukit Kayu Hitam sahaja,” katanya dalam sidang akhbar sempena Op Tangki di sini, hari ini.

Tambah Aedy Fadly, kenderaan yang digunakan untuk menyeludup diesel ke Thailand terdiri daripada pelbagai jenis antaranya pacuan empat roda, treler dan kereta yang telah diubah suai tangki. 

“Tindakan diambil mengikut Kaedah 34 Ubahsuai Tangki Tanpa Kebenaran di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) serta Kaedah-Kaedah di bawahnya.

“Kami sedang melihat semula kaedah tertentu berkaitan ubah suai kenderaan kerana kes ini biasanya melibatkan kenderaan asing. Dalam masa sama, kami akan lebih bertegas untuk memastikan kegiatan ini dibendung mengikut undang-undang yang tertakluk di bawah bidang tugas JPJ,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah Imigresen Kedah, Mohd. Ridzzuan Mohd. Zain berkata, analisis pihaknya mendapati kumpulan penyeludup itu menggunakan pasport dan pas sempadan secara berselang-seli untuk ke negara ini. 

“Rata-rata penduduk di sempadan kedua-dua negara memiliki dua dokumen untuk menyeberangi sempadan, maka mereka selang-seli guna untuk tidak kelihatan terlalu ketara. 

“Sehubungan itu, kami telah mengambil tindakan susulan daripada operasi bersepadu ini dengan mewujudkan satu profil terhadap pemandu kenderaan yang disyaki guna taktik tersebut,” katanya.   

Menurutnya, apabila profil individu terlibat dikenal pasti, pihak Imigresen boleh menolak kemasukan individu berkenaan di bawah peraturan Imigresen berkaitan imigran larangan. 

“Imigran larangan ini biasanya melibatkan individu yang disyaki terlibat dalam hal tertentu seperti peminta sedekah atau pelayan pelanggan (GRO). Mungkin melalui cara ini, kita dapat bantu JPJ serta KPDN bagi mengatasi isu berkaitan pengubahsuaian kenderaan serta penyeludupan diesel,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN