Negara mula terima hujan di kebanyakan tempat

Negara mula terima hujan di kebanyakan tempat, cuaca panas mula reda

AHMAD Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Bilangan 1 bagi tahun 2024 di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Negara dijangka menerima hujan pada paras purata di kebanyakan tempat dan sedikit atas purata (Sarawak dan barat Sabah) dalam tempoh Monsun Barat Daya bermula bulan ini sehingga September depan.

Situasi itu dimaklumkan Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Bilangan 1 bagi tahun 2024 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, MET Malaysia juga meramalkan peralihan kepada El Niño and the Southern Oscillation (ENSO) neutral dijangka berlaku pada pertengahan tahun ini, manakala La Nina dijangka mula terbentuk pada suku ketiga 2024.

“Buat masa ini negara sedang berada di fasa peralihan monsun yang dijangka sehingga bulan ini, manakala kedaan cuaca panas terutama di utara Semenanjung mula reda.

“Secara relatifnya, Monsun Barat Daya dijangka membawa cuaca lebih kering dan kebanyakan negeri akan mengalami lebih banyak bilangan hari tanpa hujan.

“Ini menyebabkan pelbagai impak negatif meliputi kesan kesihatan, kekurangan bekalan air, kebakaran hutan atau belukar, jerebu, dan sekiranya berpanjangan, kekurangan hasil pertanian,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat memaklumkan, sejumlah 2,030 kes pembakaran terbuka disiasat Jabatan Alam Sekitara (JAS) dengan sembilan kes dibawa ke mahkamah.

Pada masa sama, katanya, sebanyak 630 kes dirujuk ke agensi lain, sementara 100 kompaun berjumlah RM200,000 dikeluarkan bagi tempoh 1 Januari hingga 30 April lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata, Sistem Pangkalan Data Hidrogeologi myGEMS milik Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta ketersediaan sumber air bawah tanah boleh diguna pakai sebagai sumber air alternatif termasuk untuk pemadaman kebakaran di kawasan tanah gambut.

Katanya, terdapat 640 telaga aktif untuk kegunaan domestik dan 104 telaga di kawasan gambut dan hutan dengan kapasiti 176.13 juta liter sehari (MLD).

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri (JPBN) diminta untuk mengambil langkah yang sewajarnya untuk bersama-sama menghadapi situasi ini dengan meminta pengendali air meningkatkan kecekapan operasi mereka.

“Ini termasuk menyediakan sokongan logistik untuk memobilisasi bekalan air ke kawasan terjejas.

“Bagi operasi untuk memadam sebarang kebakaran, agensi-agensi tindak balas pula berada pada tahap siap siaga dengan persediaan logistik sewajarnya untuk menghadapi kebakaran terbuka,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengingatkan semua agensi yang telibat sentiasa mengambil langkah aktif dalam mengurangkan risiko bencana melalui tadbir urus yang cekap berlandaskan pengurangan risiko bencana.

Ia boleh diambil melalui perancangan pembangunan, guna tanah, pengurusan air dan penyelenggaraan yang tertakluk di bawah kuasa negeri bagi mengelakkan bencana dari terus berlaku dan memastikan pembangunan mampan untuk kesejahteraan rakyat khususnya generasi akan datang.

Menerusi mesyuarat itu, Ahmad Zahid turut melancarkan Buku Garis Panduan Pelaksanaan Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) di Malaysia dihasilkan NADMA dengan kerjasama Kolej Pengajian Kejuruteraan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Buku tersebut bertujuan memastikan program CBDRM ini dapat dilaksanakan secara efektif di setiap peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di Negeri dan Daerah bermatlamat membentuk sebuah komuniti berdaya tahan terhadap bencana melalui aktiviti kesiapsiagaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN