Naik gaji penjawat awam, PN digesa nyata pendirian - Utusan Malaysia

Naik gaji penjawat awam, PN digesa nyata pendirian

Gaji PN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Ahli Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan kepemimpinan Perikatan Nasional (PN) digesa menyatakan pendirian menolak kenaikan gaji penjawat awam jika menyifatkan perkara itu sebagai gula-gula Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, meskipun pelaksanaannya akan dibuat menerusi pembentangan Belanjawan 2025 nanti, adakah beliau dan kepemimpinan PN sendiri tidak bersetuju dengan pengumuman tersebut?

“Jadi, saya hendak tanya Wan Ahmad Fayhsal, sila nyatakan pendirian tidak setuju dengan pengumuman kenaikan gaji anggota perkhidmatan awam sekarang. Apabila kita bentang bajet nanti, kata Wan Ahmad Fayhsal akan hanya boleh kita laksanakan kenaikan gaji jika bajet diluluskan di Parlimen.

“Saya hendak tanya kepada beliau dan rakan-rakannya, sila nyatakan tak setuju (naik gaji) dan akan tolak bajet yang memasukkan nanti intipati tentang perkara kenaikan gaji kakitangan awam,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua Pemuda PN itu didakwa menyatakan kenaikan gaji kakitangan awam belum tentu dapat dilaksanakan jika Belanjawan 2025 yang dibentangkan nanti tidak diluluskan.

Malah, beliau turut mendakwa pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Mei lalu disifatkan sebagai gula-gula untuk mempengaruhi pengundi di PRK Kuala Kubu Bharu.

Bagaimanapun, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri menempelak kenyataan beliau dan menegaskan semakan gaji kakitangan awam kajian Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sudah pun dibuat lebih awal.

“Pilihan raya berlaku sekarang, pengumuman semakan gaji penjawat awam dibuat sejak dahulu lagi, semasa setahun dahulu, kita tak ada kekosongan (kerusi) di sini (Kuala Kubu Bharu) pun.

“Sekarang dia kata boleh umum tetapi jangan percaya sebab bajet belum lulus, nyatakan sekarang bahawa dia adalah orang yang tak akan menyokong. Jadi, senang orang Kuala Kubu Bharu membuat keputusan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN