ARAU: Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin mengakui gaji guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) kecil termasuk ada menerima RM400 sebulan, namun mereka terus bertahan dan berkorban untuk berkhidmat memberi pendidikan kepada masyarakat.
Katanya, itulah sifat terpuji ditunjukkan guru-guru Pasti yang tidak pernah mengeluh kerana gaji dibayar itu adalah mengikut kemampuan kerana kebiasaan pusat asuhan berkenaan didukung oleh cawangan-cawangan Pas antara 40 sehingga 50 ahli yang tidak mempunyai sumber kewangan tetap.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Hashim berkata, sememangnya gaji guru Pasti kecil dengan ada yang RM400 serta RM600 sebulan berdasarkan kepada kemampuan.
Katanya, ada guru Pasti terima gaji lebih tinggi bergantung kepada sesebuah kawasan serta jumlah jam bekerja.
“Memang tidak sampai standard gaji minimum, namun Pasti masih berjalan. Di situ kita lihat pengorbanan guru-guru, kalau mahu kira upah berbanding tenaga dicurah memang tidak padanlah.
“Apabila dia merasakan berkhidmat untuk masyarakat, gaji yang sedikit pun masih mampu bertahan, tidak mengeluh,” katanya.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, kebajikan sebahagian besar kira-kira 10,000 guru Pasti di seluruh negara didakwa ditindas sehingga ada dalam kalangan mereka menerima gaji RM400 sebulan.
Mereka mendakwa diminta tutup mulut dengan bayaran gaji rendah, tidak menerima caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selain disuruh mengadu bekerja sebagai sukarelawan di sekolah-sekolah tersebut.
Wakil Gerakan Hak Pasti yang mahu dikenali sebagal Muhammad dilaporkan berkata, perkara itu disuarakan kumpulan guru dan bekas guru Pasti yang menghadapi isu berkenaan sudah lama dengan hak mereka sebagai pekerja dinafikan dan bertentangan dengan Akta Kerja 1955.
Setakat ini, difahamkan sebanyak 139,000 murid belajar di Pasti membabitkan 2,680 premis di seluruh negara.
Tambah Hashim, guru-guru Pasti juga bukan sukarelawan sebaliknya mereka dibayar, namun tidaklah banyak dan keutamaan mereka memberi pendidikan kepada masyarakat. – UTUSAN










