PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menyalurkan pemberian baucar buku yang melibatkan murid atau pelajar institusi pendidikan bawah kementerian itu bermula pukul 2 petang hari ini.
KPM dalam kenyataan memaklumkan, kaedah penyaluran itu adalah menerusi aplikasi DELIMa yang sedia ada digunakan oleh semua murid dan pelajar.
Dalam hal ini, KPM menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman pemberian baucar buku RM50 kepada murid Tahun 4 hingga Tahun 6.
Ini termasuk baucar RM100 kepada murid sekolah menengah, penuntut di institusi pendidikan tinggi dan pelajar di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
“Pengumuman Perdana Menteri mencerminkan keperihatinan beliau terhadap kepentingan menyemai minat membaca dalam kalangan generasi muda.
“Ia juga bertepatan dengan usaha berterusan KPM untuk mempertingkatkan budaya membaca dalam kalangan murid atau pelajar menerusi penganjuran pelbagai program galakan di setiap peringkat,” katanya hari ini.
KPM menjelaskan, kaedah penebusan baucar adalah dengan cara log masuk aplikasi DELIMa menggunakan id/password DELIMa dan klik ikon Kota Buku Digital.
Setelah itu, murid atau pelajar mendaftar akaun di Kota Buku Digital dan kredit akan dipapar di akaun masing-masing.
Murid atau pelajar kemudiannya boleh memilih judul yang disukai daripada kepelbagaian judul yang ada terutamanya daripada Judul Cadangan Madani.
“Setelah selesai memilih, murid atau pelajar boleh daftar keluar (checkout) dan memilih pilihan bayaran kredit e-kedai (e-store credit).
“Buku yang dibeli akan dihantar terus ke alamat yang didaftarkan dan proses selesai,” katanya.
KPM pada masa sama berkata, pemberian baucar buku ini adalah langkah ke hadapan yang menjadi pencetus kepada melahirkan generasi berilmu, pewaris masa hadapan Malaysia Madani. – UTUSAN









