Momentum kemenangan PH di KKB boleh tawan Kedah, Perlis - Utusan Malaysia

Momentum kemenangan PH di KKB boleh tawan Kedah, Perlis

ASMIRUL ANUAR ARIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Gabungan parti politik kerajaan berpeluang besar menawan Kedah dan Perlis yang dikuasai Perikatan Nasional (PN) jika momentum kemenangan di Kuala Kubu Baharu terus berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Asmirul Anuar Aris berkata, berlaku anjakan undi Melayu yang amat signifikan kepada calon Pakatan Harapan (PH) yang memperolehi 41 peratus berbanding 39 peratus undi Melayu kepada calon PN.

Menurutnya, keputusan itu juga petunjuk bahawa ‘gelombang hijau’ ketika PRU15 lalu sudah mula melemah dan menurun secara signifikan.

“Kemenangan calon PH di Kuala Kubu Baharu adalah petanda jelas bahawa rakyat khususnya pengundi di situ yakin dengan hala tuju Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jika momentum tersebut terus berlaku pada PRU16 nanti, gabungan parti politik Kerajaan Perpaduan berpeluang besar menawan dua buah negeri dikuasai PN iaitu Kedah dan Perlis,” katanya di sini, hari ini.

Namun, Asmirul Anuar mengakui, pihaknya perlu bekerja lebih keras terutama mendekati rakyat bagi memberi penjelasan tentang apa yang sedang berlaku di bawah pentadbiran kerajaan PN Kedah dan Perlis ketika ini.

Tambahnya, selain undi Melayu, peratusan undi daripada kaum Cina dan India pada PRK Kuala Kubu Baharu itu juga mengatasi undian diperolehi calon PN.

“Niat pihak lawan untuk merampas kerusi Kuala Kubu Baharu tidak kesampaian meskipun ketika berkempen, PN membawa narasi komunikasi politik bersifat propaganda dan menjatuhkan maruah Perdana Menteri serta menyindir inisiatif dilaksanakan kerajaan,” ujarnya.

Beliau berkata, parti politik di dalam koalisi Kerajaan Perpaduan pula pada masa sama tidak boleh alpa dengan kemenangan dicapai, sebaliknya perlu menggerakkan seluruh jentera parti bermula sekarang bagi mendekati rakyat untuk memberi maklumat yang sewajarnya.

Keputusan PRK Kuala Kubu Bharu pada Sabtu, menyaksikan calon PH daripada DAP, Pang Sock Tao menang dengan 3,869 undi majoriti selepas memperoleh 14,000 undi.

Calon PN, Khairul Azhari Saut memperoleh 10,131 undi, diikuti calon Bebas, Nyau Ke Xin dengan 188 undi dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin yang meraih 152 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×