Menara KL kini di bawah pengurusan baharu

Menara KL kini di bawah pengurusan baharu

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Menara Kuala Lumpur (KL) kini diuruskan oleh satu syarikat usahasama, LSH Best Builders Sdn. Bhd. dan Service Master (M) Sdn. Bhd. bagi konsesi selama 20 tahun.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diumumkan dalam mesyuarat jemaah menteri dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, syarikat usahasama itu dipilih daripada lima pembida syarikat tempatan yang mengemukakan Permintaan Cadangan (RFP).

“Syarikat usahasama itu dipilih oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan kerajaan.

“Syarikat usahasama itu telah memenuhi syarat ditetapkan dan tidak ada apa-apa isu terkait selepas semua saringan dilakukan dari aspek integriti serta tidak timbul sebarang isu,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, proses seterusnya adalah pengeluaran surat pengoperasian kepada syarikat usahasama tersebut.

Fahmi berkata, beliau dimaklumkan, semua syarikat yang ingin terlibat dalam proses tender ini perlu mempunyai keupayaan kewangan sekurang-kurangnya RM18 juta.

Isu pengambilalihan pengurusan Menara KL timbul selepas ramai mempersoalkan keputusan TM menerusi anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. memindahkan pemilikan penuh mereka kepada Hydroshoppe Sdn. Bhd.

Malah, isu itu telah dibawa ke pengetahuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan beberapa individu termasuk bergelar Datuk telah ditahan bagi membantu siasatan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN