MEKAH: Lebih 20,000 pelawat dikenakan tindakan kerana memasuki Mekah tanpa visa haji setakat 31 Mei lalu.
Pihak berkuasa Arab Saudi berkata, tindakan itu susulan larangan kemasukan ke tanah suci sepanjang musim haji ini.
Katanya, berkuat kuasa 15 Zulkaedah hingga 15 Zulhijjah atau bersamaan 23 Mei hingga 21 Jun, pemegang visa lawatan tidak dibenarkan tinggal atau melakukan perjalanan ke Mekah.
“Penguatkuasaan ini sebahagian daripada langkah keselamatan yang diambil Kementerian Dalam Negeri bagi menjamin keselamatan dan keselesaan jemaah haji ketika menunaikan ibadah,” katanya dalam laporan Saudi Gazette, baru-baru ini.
Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengumumkan denda berjumlah SR10,000 (RM12,514) ke atas mana-mana individu yang didapati bersalah memasuki Mekah tanpa permit haji dalam tempoh 2 hingga 20 Jun ini.
Hukuman itu dikatakan terpakai kepada semua penduduk tempatan, ekspatriat dan pelawat. – UTUSAN










