Mark Adam tak ada lesen kereta, trauma sebab dua kali kemalangan - Utusan Malaysia

Mark Adam tak ada lesen kereta, trauma sebab dua kali kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kemalangan yang dialami Mark Adam ketika usia remajanya mengakibatkan penyanyi dan pelakon tersebut tidak memiliki lesen kereta sehingga ke hari ini.

Mark berkata, insiden berkenaan bukan sahaja meninggalkan kerisauan, malah mengkibatkan dia hilang keberanian untuk memandu kenderaan.

“Saya trauma, tidak berani memandu kereta kerana pernah terbabit dengan kemalangan motosikal dulu.

“Dalam kejadian itu, motosikal kepunyaan bapa saudara yang ditunggang saya bersama seorang rakan terbabas selepas cuba mengelak besi konkrit yang tajam. Rakan terbabit mengalami patah tangan dan kaki.

“Tragedi hitam itu sentiasa muncul dalam fikiran apabila saya cuba memandu kereta,” katanya.

Penyanyi berusia 44 tahun itu menjelaskan perkara tersebut selepas ditanya mengenai sebab mengapa dia tidak mempunyai lesen kenderaan sehingga ke hari ini.

Penyanyi lagu Pencuri itu juga memaklumkan kejadian sama berulang apabila motosikal yang dinaikinya merempuh sebuah kenderaan yang sedang menghala ke sebuah simpang di kampungnya.

“Fikiran saya waktu itu jadi kosong, badan pula bertukar kaku.

“Tahu-tahu saya sudah langgar kereta itu. Ada yang tidak kena dengan diri saya. Susah untuk dijelaskan,” tambahnya.

Kata Mark lagi, disebabkan itu juga dia terpaksa menolak mana-mana drama yang memerlukan dia melakonkan babak memandu kereta.

“Jika pun terpaksa melakonkan babak memandu kereta, saya akan minta pertolongan kru untuk tolak kereta berkenaan agar ia kelihatan seperti sedang bergerak,” jelasnya yang pernah dinasihatkan untuk berjumpa pakar bagi mengatasi trauma tersebut.

Penyanyi asal Filipina itu bagaimanapun bersyukur dengan kerelaan isterinya, Ezan atau Norazah Redzuan yang sentiasa lapang untuk memandunya ke tempat kerja.

“Isteri saya seorang pemandu yang bagus kerana tidak pernah terbabit dengan kemalangan. Kalau adapun sekali tapi sikit saja.

“Saya juga mahu isteri sentiasa menemani, kerana hidup ini singkat dan kita akan menyesal jika tidak luangkan banyak masa dengan keluarga.

“Bila bekerja sampai awal pagi, saya selalu fikir mengenai isteri di rumah. Sebab itu, lebih baik, isteri menemani saya di lokasi,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN