GERIK: Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyediakan peruntukan sebanyak RM2 bilion tahun ini bagi penajaan pendidikan di peringkat Ijazah Sarjana (Sarjana) dan Ijazah Kedoktoran (PhD).
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, peruntukan itu memberi manfaat kepada kira-kira 2,000 pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara.
Katanya, permohonan bagi penajaan itu bermula 7 Mei ini.
“Tawaran ini adalah terbuka dan semua pelajar cemerlang dialu-alukan untuk memohon. Ini (penajaan pendidikan) merupakan antara agenda Mara dalam memperkasakan lagi pendidikan Bumiputera.
“Malah, komitmen kita adalah untuk terus menghantar pelajar-pelajar menyambung pengajian ke luar negara kerana melihat ia sebagai pelaburan masa depan negara yang baik.
“Jadi, untuk tahun ini, kita peruntukan tidak kurang 2,000 pelajar untuk dihantar ke dalam dan luar negara membabitkan penajaan pendidikan antara RM1.5 hingga RM2 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Daerah Kecil Pengkalan Hulu, Parlimen Gerik bersama Pengerusi Mara di Dataran Arena Pengkalan Hulu, di sini hari ini.
Sebelum ini, Mara dilaporkan mahu membuka permohonan bagi peringkat Sarjana dan PhD di dalam dan di luar negara.
Tawaran itu terbuka kepada pelajar cemerlang lepasan ijazah sarjana pertama atau sarjana bagi melanjutkan pengajian peringkat pascasiswazah.
Sementara itu, mengulas cadangan kuota khas pelajar Orang Asli untuk memasuki Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), beliau menegaskan tiada kuota yang ditetapkan sebaliknya keutamaan diberikan kepada komuniti itu.
Jelasnya, penetapan kuota akan dilihat sebagai menghadkan peluang pelajar dalam kalangan masyarakat Orang Asli untuk mendapat akses pendidikan yang berkualiti.
“Saya ambil pendekatan untuk tidak letakkan kuota tetapi memberi keutamaan kepada pelajar Orang Asli. Kalau letak kuota, ia seperti menghadkan peluang mereka.
“Apa yang penting, kita mahu pastikan ramai (Orang Asli) yang boleh masuk (MRSM) dan kita beri keutamaan kepada mereka. Ini komitmen kita di Mara tambahan lagi di Parlimen Gerik yang mempunyai ramai masyarakat Orang Asli,” katanya. – UTUSAN










