Malaysia negara pertama diberi permit operasi ambulans

Malaysia negara pertama diberi permit operasi ambulans

KAKITANGAN perubatan membantu pesakit ke hospital dengan menggunakan ambulans selepas menerima Tasreh daripada kerajaan Arab Saudi. Semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Keupayaan dan kemampuan Malaysia menguruskan haji terbukti selepas berjaya menjadi negara pertama memperoleh kelulusan pengoperasian unit ambulans.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kebenaran yang diperoleh menerusi permit operasi atau Tasreh itu sekali gus membolehkan 20 ambulans di bawah Pusat Rawatan Tabung Haji diatur gerak pada bila-bila masa.

“Alhamdulillah permit ini sekali gus membenarkan semua ambulans milik kita untuk dioperasi pada bila-bila masa dengan tiga buah ambulans ditempatkan di Madinah.

“Baki 17 lagi ditempatkan di Pusat Rawatan Tabung Haji di Mekah dan penempatan utama di sekitarnya” katanya kepada media semalam.

Kata Syed Saleh, Tasreh tersebut diperoleh sebaik sahaja rombongan perubatan tiba di Mekah dan Madinah.

“Permit yang diberi oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi terbahagi kepada dua iaitu permit asas dan permit sokongan nyawa termaju.

“Dengan perolehan permit ini, semua ambulans kita mempunyai keupayaan untuk menyelamatkan nyawa dari segi kelengkapan dan pasukan paramedik,” jelasnya.

Menurut Syed Saleh lagi, permohonan mendapatkan permit ini mengambil masa yang agak lama serta perlu melalui proses pemeriksaan yang ketat dan teliti oleh kerajaan Arab Saudi.

Mengulas mengenaik statistik jemaah haji yang dimasukkan ke hospital, Syed Saleh berkata, seramai 29 pesakit sedang dirawat di Mekah dan Madinah.

“Dari jumlah ini, seramai tujuh orang berada di Hospital Arab Saudi manakala 21 orang berada di Pusat Rawatan Tabung Haji di Mekah dan seorang di Madinah,” jelasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×