PUTRAJAYA: Malaysia kehilangan kira-kira RM277 bilion akibat rasuah dalam tempoh lima tahun lalu.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kerugian itu adalah berdasarkan perkiraan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dari 2018.
Beliau berkata, angka yang cukup besar itu sewajarnya boleh dimanfaatkan untuk membantu rakyat dalam pelbagai aspek terutama pelaksanaan projek sosial seperti membaik pulih hospital dan sekolah.
Malangnya, beliau kesal nilai sejumlah itu tiris akibat jenayah rasuah.
“Kalau dibahagi lima (angka kerugian itu) puratanya lebih kurang dalam RM55 bilion setahun.
“Jadi jumlah ini yang kita semua perlu yang perlu kita selamatkan. Angka dari segi kos yang boleh dijimatkan dan bukannya pendapatan. Kalau kita dapat selamatkan wang-wang begini ia akan dapat membahagiakan kita semua,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.
NACS 2024-2028 dilancarkan bagi menggantikan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang berakhir pada Disember 2023.
Dalam pada itu, Azam berkata, NACS diyakini dapat mencapai sasaran terutama dalam membanteras rasuahdengan menggariskan strategi berkaitan terutama dalam skop pengoperasian dan penguatkuasaan.
Beliau berkata, semua semua agensi, kementerian, jabatan kerajaan akan dilibat urus untuk melihat kepada pelbagai banyak perkara tatakelola termasuk isu-isu reformasi undang-undang.
“Reformasi undang-undang ini law perlu dilihat oleh semua jabatan kerana ia sebenarnya banyak melambatkan pembangunan negara kita kerana dia melibatkan banyak birokrasi dalam negara kita,” katanya.-UTUSAN










