PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan rayuan lima bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terhadap sabitan dan hukuman penjara tiga tahun kerana mencederakan Pegawai Kadet Laut universiti itu, Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin memutuskan demikian secara sebulat suara selepas kelima-limanya menarik balik rayuan silang masing-masing.
Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Kesemuanya kini berusia 28 tahun.
Terdahulu, peguam Amer Hamzah Arshad memaklumkan, kelima-limanya menggugurkan rayuan itu kerana ia kini akademik.
Mereka telah selesai menjalani hukuman penjara tiga tahun.
Perkara tersebut tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, K. Mangai.
Perbuatan mencederakan Zulfarhan dilakukan di dalam sebuah bilik blok penginapan Asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara pukul 2.30 dan pukul 5.30 pagi 21 Mei 2017.
Pada prosiding hari ini, mahkamah dijadualkan mendengar rayuan silang 17 bekas penuntut UPNM (termasuk lima yang menarik balik rayuan) berikutan tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi dan menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap mereka kerana mencederakan Zulfarhan.
12 penuntut itu ialah Mohd. Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd. Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd. Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sani dan Mohamad Syazwan Musa.
Panel itu juga dijadualkan mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2 November 2021 yang menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun ke atas enam bekas penuntut UPNM kerana menyebabkan kematian Zulfarhan.
Keenam-enamnya ialah Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin dan Abdoul Hakeem Mohd Ali dan seorang lagi rakan mereka, Mohamad Shobirin Sabri.
Kesalahan menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat dilakukan di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara pukul 4.45 dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017. – UTUSAN










