SHAH ALAM: Lebih RM500,000 diperuntukkan oleh Kementerian Perpaduan Negara kepada 188 persatuan Sekretariat Rukun Negara (SRN) bagi melaksanakan inisiatif Eksplorasi Rukun Negara di peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Menteru Perpaduan Negara, Datuk Aron Ago Dagang berkata, program tersebut bertujuan menjayakan agenda pengukuhan perpaduan dalam kalangan mahasiswa melalui inisiatif tersebut.
“Kementerian sentiasa menekankan dan memberikan fokus kepada agenda pengukuhan penghayatan Rukun Negara dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya generasi muda.
“Usaha-usaha mempromosi dan menerapkan penghayatan Rukun Negara turut giat dikembangkan di peringkat IPT di platform SRN. Sehingga kini, terdapat sebanyak 188 buah SRN yang berdaftar di kampus-kampus IPT di seluruh negara,” katanya selepas menyempurnakan Penutupan Pertandingan Debat Perpaduan Piala Menteri Perpaduan Negara Tahun 2024, hari ini.
Jelasnya, daripada jumlah 188 SRN tersebut, sebanyak 30 buah SRN berdaftar di IPTA, manakala 35 buah SRN di IPT Swasta (IPTS), 28 di politeknik, 17 di kolej-kolej matrikulasi, 51 di kolej komuniti dan 27 di kampus-kampus Institut Pendidikan Guru (IPG).
“Saya mengambil kesempatan ini menyeru agar semua IPTS di dalam negara untuk turut bersama dalam menubuhkan SRN sebagai platform integrasi nasional di peringkat IPT masing-masing,” ujarnya.
Terdahulu beliau memaklumkan penganjuran Debat Perpaduan adalah selari dengan komitmen dan objektif Dasar Perpaduan Negara dalam memupuk dan mengukuh perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.
Katanya lagi, beliau kagum dengan komitmen 200 pembahas melibatkan 50 pasukan yang menyertai pertandingan debat tersebut mengangkat tema “Menjiwai Rukun Negara” dimenangi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), manakala Naib Johan dimenangi pasukan Universiti Malaya (UM). – UTUSAN










