KUALA SELANGOR: Seorang penunggang motosikal disahkan maut dalam kejadian kemalangan dekat simpang empat lampu isyarat berhampiran pusat perniagaan Eco Grandeur, Puncak Alam, di sini, hari ini.
Berdasarkan hantara tular dalam media sosial oleh seorang pengguna aplikasi Threads, ‘anysfrhnh_’ kemalangan terbabit berlaku pagi tadi di persimpangan Persiaran Mokhtar Dahari.
Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor ketika dihubungi Utusan Malaysia memaklumkan kemalangan terbabit melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah motosikal dan lori.
Kemalangan dipercayai berpunca apabila motosikal dinaiki mangsa berusia 35 tahun itu hilang kawalan ketika cuba memotong sebuah lori berhampiran persimpangan berkenaan.
Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.
Sementara itu, di ruangan komen dalam hantaran di aplikasi media sosial tersebut, seorang pengguna ‘najwa.eysa’ mendakwa penunggang terbabit merupakan pelanggannya yang menempah perkhidmatan katering bagi majlis pertunangan mangsa dengan pasangannya pada Sabtu ini.
“Rupanya yang accident itu customer saya yang bakal bertunang 25 Julai . Semalam arwah jumpa ibu saya cakap hendak selesaikan baki (bayaran) katering sebab tak nak hutang lama-lama. Harini dia sudah tak ada, turut berduka,” ujarnya.
Seorang lagi pengguna di aplikasi sama, ‘annayazid’ dipercayai mengenali mangsa turut mengatakan arwah akan bertunang pada Sabtu ini.
“Innalillah, Sabtu ini majlis tunang arwah,” komennya.
Malam tadi, seorang penunggang motosikal dilaporkan maut akibat dirempuh sebuah kereta jenis Nissan Almera ketika sedang berhenti pada lampu merah dekat persimpangan berhampiran Hillpark, Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam.
Mangsa mangsa berusia 29 tahun maut ditempat kejadian, sebelum itu dia dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di Puncak Alam dari tempat kerja. – UTUSAN










