PUTRAJAYA: Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) berjaya mencatatkan nilai rampasan melebihi RM13 juta dengan melibatkan sebanyak 81 kes menerusi operasi yang dijalankan yang dilaksanakan empat bulan pertama tahun ini.
Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin berkata, kes dicatatkan itu dilihat satu pencapaian signifikan di mana bagi tempoh sama tahun lalu, ia merekodkan sebanyak 75 kes dengan nilai rampasan melebihi RM15 juta.
“Pelaksanaan OBK adalah bagi meningkatkan keberkesanan dalam aspek penguatkuasaan dan membanteras sebarang bentuk jenayah flora dan fauna.
“Ia meliputi pencerobohan hutan, pemburuan haram, penyeludupan hidupan liar dan
pengambilan sumber biodiversiti secara haram di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, semua kes melibatkan kesalahan-kesalahan di bawah Akta Kastam 1967, Akta
Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesis Terancam 2008, Akta Pemuliharaan
Hidupan Liar 2010, Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 dan Akta Senjata 1960.
“Perdagangan hidupan liar kini berada di kedudukan keempat di antara jenayah-
jenayah global yang lain.
“Ia menjadi jenayah yang mampu menjana keuntungan lumayan. Selain itu, INTERPOL turut menganggarkan aktiviti penyeludupan hidupan liar menjana pendapatan sebanyak AS$20 bilion setahun,” tegasnya.
Beliau berkata, budaya kerja secara berpasukan harus diberi penekanan dengan
menitikberatkan elemen cara kerja cross-functional dan menolak budaya kerja silo.
Jelasnya, kolaborasi jitu antara jabatan dalam hal-hal berkaitan perkongsian maklumat dan
kepakaran akan membuka pintu untuk jalinan kerjasama jangka panjang yang lebih
berkesan dan bermakna,” katanya. – UTUSAN










