Lonjakan kes denggi cetus kebimbangan kerajaan

Lonjakan kes denggi cetus kebimbangan kerajaan

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kes demam denggi di seluruh negara meningkat mendadak sebanyak 66 peratus setakat minggu epidemik ke-35 tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Seri Fahmi Fadzil pada mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, perkembangan semasa itu sekali gus mendorong kerajaan memperhebat langkah pencegahan termasuk penganjuran program gotong-royong berskala besar.

Menurutnya, Jemaah Menteri dimaklumkan bahawa sebanyak 65,979 kes denggi direkodkan setakat minggu epidemik ke-35 tahun ini berbanding 39,616 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

“Jumlah kematian akibat denggi turut menunjukkan peningkatan membimbangkan apabila meningkat kepada 62 kes berbanding 32 kes pada tahun lalu.

“Jemaah Menteri telah menerima taklimat mengenai situasi denggi yang menunjukkan peningkatan sebanyak 66 peratus bagi jumlah kes dan hampir 94 peratus bagi jumlah kematian berbanding tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Mengulas langkah kawalan, Fahmi berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melaksanakan program gotong-royong besar-besaran dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Katanya, kerajaan turut dimaklumkan mengenai keberkesanan program pelepasan nyamuk Wolbachia yang berjaya mengurangkan penularan virus denggi di beberapa kawasan termasuk Putrajaya.

Bagaimanapun, beliau berkata, proses fogging boleh menyebabkan nyamuk Wolbachia turut mati sekali gus menjejaskan usaha pembiakan spesies berkenaan yang berfungsi menghalang penyebaran virus Aedes.

Sehubungan itu, katanya, usaha gotong-royong dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk perlu dipertingkat terutama di kawasan zon merah dan lokasi yang dikenal pasti berlaku wabak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×