SEOUL: Taikun permainan video Korea Selatan, Kwon Hyuk-bin, diarahkan membayar lebih dua trilion won (RM6 bilion) dalam penyelesaian penceraian, sekali gus menjadi pembahagian aset terbesar pernah diputuskan di negara itu.
Mahkamah Keluarga Seoul hari ini memutuskan Hyuk-bin perlu menyerahkan 35 peratus pegangannya dalam syarikat permainan video, Smilegate, bernilai kira-kira 2.5 trilion won (RM8.5 bilion), selain membayar 65 bilion won (RM221 juta) secara tunai.
Jumlah itu mengatasi 944 bilion won (RM3.2 bilion) yang diputuskan dalam penyelesaian penceraian antara Pengerusi Kumpulan SK, Chey Tae-won, dengan bekas isteri, Roh Soh-yeong.
Hyuk-bin mengasaskan Smilegate pada 2002 dan membangunkan syarikat itu menjadi antara firma permainan video paling berjaya di Korea Selatan.
Bekas isterinya, yang hanya dikenali dengan nama keluarga Lee, memfailkan penceraian pada November 2022 dan menuntut separuh daripada pegangan Hyuk-bin dalam Smilegate Holdings, menurut media tempatan.
Lee mendakwa, beliau memainkan peranan dalam penubuhan serta pengurusan awal syarikat itu, selain menyumbang secara tidak langsung melalui kerja rumah tangga.
Beliau berhujah sumbangan berkenaan melayakkannya menerima separuh daripada pegangan Hyuk-bin dalam syarikat terbabit.
Mahkamah menganggarkan jumlah aset Kwon mencecah sehingga 8.016 trilion won, menurut laporan media tempatan.- AFP










