IPOH: Perak menganggarkan 57,407 unit rumah perlu disediakan menjelang tahun 2030 sebagai melengkapi pembangunan yang sedang dialami dalam negeri itu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, anggaran tersebut merangkumi pelbagai segmen rumah termasuk kos rendah dan sederhana.
Katanya, permintaan rumah akan berlaku memandangkan banyak peluang pekerjaan bakal tercipta hasil pelaksanaan beberapa projek mega yang dirancang dalam negeri tersebut.
Antara projek tersebut ialah Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP), Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Tanjung Malim dan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) serta beberapa lagi pembinaan prasarana.
“Unjuran ini dibuat berasaskan kepada pembangunan yang akan berlaku dalam negeri. Bila negeri dibangunkan, ada peluang pekerjaan, bermakna ada keperluan untuk menyediakan rumah.
“Ia melibatkan semua sekali semua. Rumah kos rendah, rumah kos sederhana dan juga rumah kos mampu milik. Kesemua itu kita kena buat unjuran yang betul supaya semua lapisan masyarakat berpeluang untuk memiliki rumah sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian bangunan Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Malaysia (Rehda) Perak di sini hari ini.
Ketika menjawab tentang keperluan menyemak semula unjuran tersebut berikutan banyak rumah tidak terjual, Saarani berkata, keadaan itu adalah kesan daripada ancaman Covid-19 beberapa tahun lalu yang telah menggugat pendapatan rakyat.
“Sebab itu kita buat pembangunan. Bila kita buat pembangunan, maka orang akan dapat pekerjaan dan daripada pekerjaan itu dia ada wang untuk membeli rumah,” katanya.
Mengenai cadangan mengkaji semula dasar perumahan Perak agar harga tidak melebihi RM200,000, Menteri Besar itu berkata, peletakan harga didorong oleh pelbagai faktor termasuk bahan pembinaan yang diimport.
Beliau berkata, Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) telah diberi tanggungjawab sebagai agensi utama negeri bagi menerajui agenda menyediakan perumahan mampu milik.
Jelasnya, Dasar Perumahan Negeri Perak sentiasa ditambahbaik serta mewajibkan pemaju skim perumahan melebihi 20 ekar untuk menyediakan 10 peratus rumah kos rendah, 10 peratus rumah kos sederhana dan 20 peratus rumah mampu milik yang dijual pada harga serendah RM90,000 seunit. – UTUSAN










