Lebih 40 tahun hadapi masalah air bersih

Lebih 40 tahun hadapi masalah air bersih

PENDUDUK Kampung Pulau Sayak, Sungai Petani, Kedah menunjukkan ketiadaan bekalan air paip.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Lebih 50 penduduk di Kampung Pulau Sayak, di sini terus hidup dalam tekanan berikutan masalah gangguan bekalan air yang masih membelenggu sejak lebih 40 tahun lalu.

Penduduk, Taufik Ahmad, 37, berkata, masalah air di kawasan itu berpunca daripada tekanan air rendah berikutan rumah mereka terletak di kedudukan lebih tinggi di atas bukit.

Katanya, sebelum ini pihak Pusat Khidmat Dun Pantai Merdeka dengan kerjasama Syarikat Air Darul Aman (SADA) telah menyediakan sebuah tangki air sementara agar bekalan tidak terputus sebagai langkah penyelesaian jangka pendek.

Jelasnya, tindakan tersebut dibuat kira-kira tiga tahun lalu dengan harapan akan ada langkah susulan bagi menyelesaikan masalah itu, namun sehingga kini penduduk masih perlu mengangkut air.

“Kebanyakan penduduk di sini terdiri daripada warga emas yang sudah uzur dan mempunyai pelbagai penyakit namun masih terpaksa menadah dah mengangkut air setiap hari.

“Sepatutnya di usia emas ini mereka dah boleh fokus buat amal ibadat dengan tenang namun sebaliknya masih perlu guna tenaga untuk angkut air,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Penduduk, Jamil Ismail, 59, kesal dengan tanggapan sesetangah pihak bahawa aduan mereka mengenai masalah air disebabkan agenda politik padahal penduduk sudah cukup terseksa sejak sekian lama.

“Kami tidak mahu salahkan mana-mana ahli politik atau pihak kerajaan tetapi kami berharap nasib kami dapat dibela dengan sewajarnya.

“Kami pun sudah letih buat aduan berkali-kali namun masalah ini masih tidak dapat diselesaikan juga,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Asri Yunus, 54, berkata, mereka bukan sahaja tertekan dengan masalah air malah turut terbeban dengan isu kewangan apabila terpaksa memperuntukkan sejumlah wang bagi mencuci pakaian di dobi.

Sobri Yaakob, 60, pula berkata, sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini sangat hambar berikutan tiada bekalan air dari hari raya pertama hingga keempat.

“Usia saya dah mencecah 60 tahun, teringin juga nak merasa suasana meriah hari raya seperti orang lain boleh buat rumah terbuka dan jemput sanak saudara, tapi kami tak dapat buat sebab masalah air,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN