PETALING JAYA: Lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Riyadh, Arab Saudi kelmarin bukan saja berjaya menarik pelaburan besar ke dalam negara bahkan membuka peluang untuk syarikat Malaysia terlibat dalam projek mega yang dirancang oleh negara tersebut.
Perdana Menteri turut menyifatkan lawatan tersebut sebagai satu pengiktirafan terhadap Malaysia apabila diberi peranan dan penghormatan tertinggi oleh kerajaan Arab Saudi.
Beliau berkata, peluang menghadiri pentas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) digunakannya sebaiknya untuk menerangkan insentif dan inisiatif Malaysia kepada pelabur yang berminat untuk melabur ke negara khususnya dari negara Teluk seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Qatar.
“Contohnya Arab Saudi…Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman memberi dokongan kepada Acwa Power, syarikat tenaga yang memutuskan pelaburan melebihi AS$10 bilion (RM47 bilion), bermula di Melaka dan Kerian (Perak) dan mungkin satu dua tempat yang mereka pilih.
“Selain itu, ada juga perbincangan dengan) syarikat-syarikat lain dan kerjasama dalam bidang lain. Kita juga meminta mereka (Arab Saudi) memberi perhatian kepada syarikat-syarikat kita yang berupaya, bukannya melabur tetapi (peluang) mendapat kontrak pembangunan, pembinaan, teknologi maklumat (IT) di Arab Saudi.
“Ini bermakna diberi peluang sekarang. Contohnya dalam projek-projek besar seperti Neom. Nampaknya, Malaysia diberi perhatian. Dokongan dan sokongan peribadi daripada pemimpin-pemimpin luar penting untuk mereka beri perhatian kepada negara Malaysia,” katanya dalam Program Soal Jawab Perdana Menteri, hari ini.
Program tersebut disiarkan di semua saluran media elektronik tempatan mulai pukul 9 malam tadi.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata, Malaysia akan menggunakan segala hubungan baik diplomatik dengan semua negara bagi bersama-sama membantu menghentikan penindasan rejim Israel terhadap Gaza.
Beliau berkata, strategi melibatkan pelbagai negara harus dirangka dalam usaha menghentikan penindasan terhadap rakyat Palestin bukan lagi isu Islam semata-mata bahkan ia adalah isu kemanusiaan.
“Saya tak fikir ini isu negara Islam atau negara Arab (sahaja). Kenyataan positif China, Russia lebih-lebih lagi Kesatuan Afrika, Brazil, Sepanyol dan Ireland (dalam isu Palestin), saya usulkan kita harus rangka strategi yang melibatkan negara-negara ini.
“Walau keadaan itu agak berat, kita (perlu) dapatkan dukungan secara menyeluruh. Kita sampaikan kepada Presiden Brazil, Lula da Silva dan Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez bahawa kita mendukung dan menghormati sikap mereka (yang menyokong Palestin) kerana ini (penindasan di Gaza) adalah masalah kemanusiaan,” katanya.
Anwar berkata, secara umumnya negara Arab turut sependapat bahawa kezaliman di Gaza harus dihentikan namun masing-masing seolah-olah tiada keupayaan kerana kekuatan Israel yang didukung oleh Amerika Syarikat dan sebahagian negara Eropah.
“Sebelum saya pulang nampak seolah-olah ada kebimbangan serius Israel akan dibenarkan melanggar dan menakluk Rafah dan Gaza, jika ini berlaku satu malapetaka jauh lebih besar daripada yang kita bayang kan akan berlaku,” katanya.-UTUSAN










